PETALING JAYA: Pengarah Urusan Kumpulan Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), Datuk Seri Dr. Irmohizam Ibrahim menerima Darjah Kebesaran Dato’ Sultan Sharafuddin Idris Shah (D.S.I.S.) sempena sambutan Jubli Perak pemerintahan Sultan Selangor, semalam.
Beliau antara 19 penerima darjah kebesaran negeri Kelas Kedua dan Ketiga pada istiadat pengurniaan yang berlangsung di Balairung Seri, Istana Alam Shah, Klang.
Menurut WTCKL berkata, pengurniaan itu membawa makna tersendiri buat Irmohizam yang berasal dari Kampung Kuantan, Bukit Melawati, Kuala Selangor, sebagai pengiktirafan terhadap khidmat dan sumbangannya kepada negeri, negara serta masyarakat.
Irmohizam berkata, beliau menjunjung kasih kepada Sultan Selangor atas pengurniaan tersebut dan menerimanya dengan penuh rasa syukur serta rendah hati.
“Pengiktirafan ini amat bermakna buat saya dan semua pihak yang menjadi sebahagian daripada perjalanan saya.
“Pengurniaan ini mendorong saya untuk terus memajukan industri acara perniagaan, memperkukuh kerjasama antarabangsa dan memberi sumbangan yang lebih bermakna kepada pembangunan Selangor serta Malaysia,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.
Irmohizam berperanan memperkukuh kedudukan pusat konvensyen itu sebagai lokasi persidangan antarabangsa, pameran dan acara perniagaan yang menghimpunkan pemain industri serta membuka peluang kerjasama strategik.
Beliau juga merupakan ahli lembaga Persatuan Pusat Dagangan Dunia (WTCA) yang beribu pejabat di New York, Amerika Syarikat dengan persatuan itu mempunyai rangkaian lebih 300 pusat dagangan dunia di hampir 100 negara dan wilayah.
Selain terbabit dalam sektor korporat, Irmohizam turut aktif dalam pertubuhan berkaitan pendidikan, penjagaan kesihatan dan kebajikan masyarakat selain turut memegang jawatan Timbalan Presiden Kelab Polo dan Ekuestrian Diraja Selangor (RSPEC). – UTUSAN











