KUALA LUMPUR: Penyanyi dan cef selebriti, Fazley Yaakob menegur sikap segelintir pemilik restoran yang gemar memperlekehkan premis makanan lain ketika memberikan kritikan, seolah-olah mereka mempunyai kepakaran sebagai pengkritik makanan profesional.
Fazley atau nama sebenarnya Ahmad Fadzli Datuk Haji Yaakob berkata, sikap sedemikian bukan sahaja mencerminkan keperibadian kurang baik, malah seolah-olah menunjukkan pemilik restoran terbabit mempunyai hati yang sukar dibersihkan.
Menerusi perkongsian di Threads, penyanyi lagu Janji Iba itu meluahkan rasa kurang senang terhadap tindakan segelintir pengusaha restoran yang gemar memburukkan perniagaan makanan lain.
“Kurang faham bila pemilik restoran jenis suka memalukan restoran-restoran lain kononnya terpaling Michelin Star, pengkritik makanan dari Paris!
“Orang macam ini rezeki sempit dan hati susah nak cuci walaupun direndam dalam cuka beras atau tuak pekat!” katanya.
Dalam masa sama, Fazley mengingatkan bahawa setiap hidangan perlu dinilai dengan adab dan rasa hormat, memandangkan soal cita rasa makanan adalah sesuatu yang subjektif.
Menurutnya, ketidakserasian selera bukan alasan untuk menghina makanan atau memperlekehkan usaha peniaga lain yang mencari rezeki.
“Makanan bukan untuk dihina dan diberi kritikan tanpa rasa hormat.
“Sedap atau tidak itu subjektif. Rezeki tetap rezeki walaupun rasa serai itu tidak kick,” katanya.











