PETALING JAYA: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kini memberi keutamaan untuk mengukuhkan kembali kepercayaan rakan penaja serta rakan strategik korporat terhadap badan induk itu.
Tanggungjawab meraih kembali keyakinan itu kini digalas oleh Ahli Jawatankuasa Eksekutif (EXCO) FAM merangkap Pengerusi Jawatankuasa Media dan Pemasaran, Datuk Syed Mahadi Syed Hassan.
Bagi memberi jaminan kepada pihak penaja bahawa setiap perancangan benar-benar membuahkan hasil, Syed Mahadi meletakkan komitmen bahawa setiap sasaran akan menterjemahkan impak nyata.
“Saya tidak mahu KPI ini hanya menjadi satu angka ataupun sekadar satu perancangan, tetapi yang lebih penting implementasinya selari dengan apa yang kita rancangkan,” katanya.
Mendahului keutamaan strategik beliau adalah mengembalikan sokongan padu peminat tempatan yang menjadi tunjang daya tarikan jenama FAM di mata rakan komersial.
“Keutamaan pertama adalah memperkasakan jenama bola sepak Malaysia dan mendekatkan FAM dengan penyokong. Kita mahu penyokong kembali mempunyai keyakinan, rasa bangga dan semangat bersama-sama menyokong bola sepak negara.
“Sokongan padu penyokong dan asas peminat yang kukuh secara langsung menjadi faktor penting kepada penaja yang mahu melabur dalam ekosistem bola sepak negara,” katanya.
Seterusnya, Syed Mahadi melihat pengukuhan aspek pemasaran dan kepelbagaian sumber kewangan menerusi kerjasama korporat yang kukuh menjadi fokus keduanya.
“Kedua, memperkukuhkan aspek pemasaran dan komersial dengan membawa lebih banyak rakan strategik ke dalam FAM ini.
“Kita mahu FAM mempunyai nilai komersial yang lebih kukuh dan ekosistem yang tidak hanya bergantung kepada sumber kewangan sedia ada.
“Selain itu, saya akan memastikan komunikasi FAM ini lebih terbuka, lebih profesional dan diyakini oleh masyarakat serta penyokong bola sepak Malaysia,” katanya.-UTUSAN
KAPSYEN: Syed Mahadi Syed Hassan (kanan) ketika majlis penajaan FAM bersama Yes dan Ryt Bank, baru-baru ini.











