PETALING JAYA: Pemain warisan negara, Richard Chin membuktikan kesungguhannya untuk memikat hati pengendali sementara Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe apabila terus mempamerkan ketajaman bersama kelab Scotland, Ross County.
Terbaharu, pemain berusia 24 tahun itu sekali lagi mencuri tumpuan apabila meledak satu gol ketika membantu Ross County membelasah Peterhead FC 4-1 pada aksi Liga Satu Scotland, kelmarin.
Ia tidak hanya terhasil secara kebetulan kerana ini adalah jaringan ketiga Chin dalam enam perlawanan terakhir Ross County dimana dia turut menghasilkan satu gol ketika The Staggies menang 4-0 ke atas Airdrieonians FC dan semasa membelasah Queen of the South 7-1, bulan lalu.
“Bagi dua aksi persahabatan di China, saya mengambil pendekatan untuk memberikan peluang kepada pemain-pemain termasuk dua muka baharu menyertai skuad kebangsaan Harimau Malaya. Saya mahu melihat kemampuan, kualiti dan kesesuaian mereka untuk beraksi di peringkat antarabangsa.
“Selain menilai sejauh mana mereka dapat menyesuaikan diri dengan corak permainan serta kehendak pasukan, ini juga merupakan peluang penting untuk kita memperluaskan pilihan pemain yang boleh dipertimbangkan bagi membentuk skuad kebangsaan yang lebih kompetitif pada masa akan datang,” kata Cheng Hoe.
Harimau Malaya yang akan berlepas ke Guangzhou, China, esok akan meng mengharungi dua aksi persahabatan bertemu China dan Yaman, Sabtu dan 17 November ini.
Perkembangan positif yang dipamerkan Chin ini pastinya menjadi perkembangan cukup melegakan buat Cheng Hoe yang mahu melihat pemain memiliki komitmen serta prestasi konsisten sebelum diberi tanggungjawab menyarung jersi Harimau Malaya.
Berdasarkan skuad yang dipanggil kali ini, Chin berpeluang untuk menjadi peledak Harimau Malaya selepas Bergson Da Silva tidak berada dalam senarai.
Selain Chin di jentera serangan, Cheng Hoe turut menyenaraikan Romel Morales, Fergus Tierney, Paulo Josue, A Selvan, Ramadhan Saifullah dan G Pavithran di posisi berkenaan.
Setiap penyerang yang dipanggil membawa profil serta kelebihan tersendiri, meletakkan beban strategi di atas bahu Cheng Hoe untuk merencana formula terbaik sama ada menentang pertahanan fizikal China mahupun transisi pantas Yaman.
Namun, jika diterjemahkan menerusi statistik yang diambil daripada lamanTransfermarkt, prestasi semasa memperlihatkan jurang ketara dalam aspek sumbangan langsung berbentuk jaringan dan bantuan gol.
Menerajui senarai teratas dengan rekod paling cemerlang ialah Chin yang meledak lapan gol dan merakamkan empat bantuan jaringan dalam 24 perlawanan.-UTUSAN










