PETALING JAYA: Penulis buku Ph.D Dari Penjara, Dr. Malik Yatam berpeluang menunaikan umrah di Tanah Suci menerusi tajaan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Beliau berlepas ke Tanah Suci pada 1 November lalu menerusi Pakej Nilam Tabung Haji Travel dan dijadualkan kembali ke tanah air pada 12 November ini.
Malik mencipta sejarah sebagai banduan pertama di Malaysia memperoleh Ijazah Doktor Falsafah (Ph.D) ketika masih menjalani hukuman penjara.
Kisah perjalanan hidupnya dirakamkan menerusi buku Ph.D Dari Penjara yang menceritakan pengalaman sebelum, semasa dan selepas menjalani hukuman, selain mengetengahkan keazaman, ketabahan serta kepentingan ilmu dalam mengubah kehidupan.
Tabung Haji Travel menerusi satu hantaran di media sosial memaklumkan pihaknya berbesar hati mengiringi perjalanan umrah Malik sebagai tetamu Allah.
“Semoga perjalanan ibadah beliau dipermudah dan dikurniakan umrah yang mabrur,” kata hantaran itu. – UTUSAN











