KUALA LUMPUR: Kebergantungan masyarakat terhadap ekosistem perbankan digital dan perkhidmatan dalam talian mendedahkan negara kepada risiko krisis yang lebih besar sekiranya berlaku serangan siber berskala nasional.
Ancaman strategik ini berpotensi melumpuhkan infrastruktur kewangan, mendedahkan jutaan data peribadi serta melumpuhkan kelancaran urusan harian rakyat dalam sekelip mata.
Bagi penjawat awam, Amirah Maisarah Muhammadun, 30, ketidaksiapan mental dan teknikal masyarakat menjadi kebimbangan utama apabila hampir seluruh aset kewangan kini diletakkan di platform digital.
“Jika Malaysia mengalami serangan siber, saya rasa kebanyakan rakyat belum bersedia kerana wang kita disimpan dalam bank secara dalam talian.
“Bayangkan jika sistem dalam talian tergendala dan semuanya terjejas. Kita memang belum bersedia,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Sementara itu, penduduk Kampung Baru, Mohd. Nur Aqmal Sahudi, 31, berpandangan, berpendapat jurang kesedaran keselamatan digital yang masih rendah dalam kalangan kelompok tertentu memburukkan lagi keadaan.
Menurutnya, insiden penipuan berskala kecil seperti sindiket pancingan data dan panggilan penipuan membuktikan benteng pertahanan minda pengguna masih rapuh.
“Jika penipuan dalam talian pun masih ramai yang menjadi mangsa, saya rasa rakyat belum cukup bersedia sekiranya berdepan serangan siber berskala besar yang boleh menjejaskan sistem perbankan dan urusan harian,” katanya.
Dalam pada itu, Nur Azua Izzatul Izzlin Ahmad, 26, berpendapat rakyat perlu mempunyai pengetahuan asas mengenai tindakan yang perlu diambil sekiranya berlaku serangan siber bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih buruk.
“Pada saya, orang ramai perlu tahu langkah yang perlu diambil sekiranya berlaku serangan siber, termasuk cara mendapatkan maklumat sahih dan saluran yang perlu dihubungi jika perkhidmatan penting tergendala.
“Pendidikan mengenai keselamatan siber perlu diperluaskan supaya orang ramai bukan sahaja tahu mengenali ancaman, malah bersedia mengambil tindakan untuk melindungi diri,” katanya. – UTUSAN











