Israel 'susah hati' hubungan dengan AS makin renggang

Israel ‘susah hati’ hubungan dengan AS makin renggang

YAIR GOLAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEL AVIV: Ketua Parti Demokrat pembangkang Israel, Yair Golan, memberi amaran negara itu berdepan risiko keselamatan susulan hubungan dengan Amerika Syarikat (AS) yang semakin tegang, termasuk kemungkinan pemotongan bantuan ketenteraan Washington.

Golan berkata, hubungan kedua-dua negara semakin meruncing, manakala jurang antara Israel dengan Parti Demokrat AS turut melebar.

“Krisis dengan AS semakin meruncing, dana bantuan ketenteraan sedang dipotong dan jurang hubungan dengan Parti Demokrat semakin serius,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Memuatkan artikel berkaitan…

Beliau menyifatkan perkembangan itu sebagai ancaman sebenar terhadap keselamatan Israel dan menggesa pemimpin negara itu tidak membuang masa dengan perselisihan politik.

“Keadaan ini membawa risiko sebenar kepada Israel dan keselamatannya. Kita tidak mempunyai masa untuk disia-siakan dengan permainan politik,” katanya.

Kenyataan itu dibuat beberapa hari selepas Presiden AS, Donald Trump, pada Selasa mengumumkan Washington akan menghentikan bantuan kewangan kepada Israel menjelang akhir tahun ini.

Trump berkata, keputusan itu berdasarkan persetujuan yang dicapai bersama Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, beberapa bulan lalu.

Dalam perkembangan berkaitan, saluran televisyen Israel, Channel 12, melaporkan Kementerian Kewangan negara itu tidak mengetahui hasrat Washington untuk menghentikan bantuan ketenteraan berkenaan sehingga pengumuman dibuat oleh Trump.

Menurut laporan penyiar itu, bantuan tahunan AS berjumlah AS$3.8 bilion (RM15 bilion) sebelum ini dijangka menjadi sumber pembiayaan penting bagi belanjawan pertahanan Israel pada 2027 dan 2028.

Mengulas kritikan terhadap perkembangan itu, pejabat Netanyahu berkata bantuan ketenteraan AS kepada Israel sebelum ini mendapat sokongan bipartisan, iaitu daripada kedua-dua parti utama negara itu.

Pejabat itu turut menyifatkan rancangan berkenaan sebagai peralihan ‘daripada bantuan kepada perkongsian’.- AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini