Bersatu terbuka kerjasama dengan PH, tiada persefahaman rasmi PRN Melaka - Utusan Malaysia

Bersatu terbuka kerjasama dengan PH, tiada persefahaman rasmi PRN Melaka

MUHYIDDIN YASSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak menolak kemungkinan menjalinkan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) sekiranya menerima tawaran daripada gabungan itu, meskipun tiada persefahaman rasmi dicapai bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16.

Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perbincangan di peringkat awal antara pemimpin parti pernah diadakan bagi mengelakkan pertembungan kerusi dan mencari persefahaman.

Bagaimanapun, katanya, tiada sebarang kerjasama rasmi dimeterai antara kedua-dua parti bagi menghadapi PRN kali ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Rasminya (kerjasama) tidak ada. Kalau ada pun perbincangan peringkat awal itu biasa untuk mengelakkan pertembungan atau mencari persefahaman. Tetapi saya tidak pernah terlibat dalam rundingan-rundingan ini,” katanya.

Beliau ditemui selepas majlis menyantuni rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang dalam Parlimen Tangga Batu di sini, hari ini.

Mengulas kemungkinan kerjasama dengan PH pada masa hadapan, Muhyiddin berkata, Bersatu terbuka untuk mempertimbangkan tawaran daripada gabungan berkenaan.

“Ya, kita alu-alukan. Kita tidak akan kata kita mahu tolak, jangan,” katanya.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, Bersatu tidak mengeluarkan sebarang arahan rasmi kepada ahli dan penyokongnya untuk membantu calon PH pada PRN Melaka kali ini.

Katanya, ahli parti itu memahami perkara yang perlu dilakukan dalam menghadapi pilihan raya berkenaan.

“Kita mengalu-alukan sesiapa sahaja yang memikirkan baik untuk menyokong Bersatu. Tentunya kita sanjung kerana kita mahu calon-calon kita yang bertanding ini boleh mencapai kemenangan.

“Bagaimanapun, kita tidak mengeluarkan sebarang arahan. Namun, dalam kalangan ahli Bersatu, mereka faham apa yang patut dibuat,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini