MOSCOW: Russia mengatur penghantaran 90 pelancar peluru berpandu berpanduan canggih kepada Iran, menurut dokumen industri pertahanan yang bocor, sekali gus mendedahkan sejauh mana kerjasama ketenteraan antara Moscow dan Teheran.
Dokumen itu diperoleh Dallas Analytics, sebuah firma perisikan swasta Ukrain dan dikongsi dengan akhbar The Guardian.
Ia memperinci rancangan membekalkan Iran dengan pelancar bagi peluru berpandu LMUR, iaitu peluru berpandu berpanduan yang dilancarkan dari helikopter serangan dan digunakan secara meluas oleh tentera Russia untuk menyerang sasaran di Ukraine sejak pencerobohan besar-besaran pada 2022.
Jadual pengeluaran yang disediakan pada Mei 2024 oleh Vympel, sebuah syarikat utama Russia yang mereka bentuk peluru berpandu dan sistem pelancarannya, menyenaraikan tempahan 90 pelancar di bawah kontrak eksport berkod K-10, dengan penghantaran dijadualkan antara penghujung 2024 hingga Disember 2025.
Dokumen dalaman berasingan secara jelas mengenal pasti K-10 sebagai Iran.
Rekod itu bagaimanapun tidak membuktikan sama ada pelancar berkenaan akhirnya telah dihantar.
Namun, satu lagi jadual pengeluaran yang menyenaraikan enam pesawat latihan jet Yak-130 untuk Iran pada 2023 selari dengan laporan awam mengenai penghantaran pesawat berkenaan.
Russia dan Iran, dua negara yang dikenakan sekatan paling berat di dunia, semakin rapat sejak Moscow melancarkan pencerobohan besar-besaran ke atas Ukraine pada 2022.
Moscow mendapat manfaat daripada kenaikan harga tenaga global susulan gangguan perkapalan melalui Selat Hormuz dan serangan terhadap infrastruktur tenaga di seluruh rantau Teluk.
Peningkatan hasil minyak memberikan Moscow sumber dana tambahan untuk membiayai perangnya di Ukraine dan berpotensi mengurangkan tekanan terhadap belanjawan Russia yang semakin terhimpit.
Perang itu turut mengalihkan perhatian antarabangsa dan sumber ketenteraan Barat daripada Ukraine, sekali gus menyukarkan Kyiv mendapatkan bekalan peluru berpandu pemintas sistem pertahanan udara Patriot buatan Amerika Syarikat (AS) yang amat diperlukan.
Presiden Donald Trump berulang kali memperkecilkan tahap sokongan Moscow kepada Iran.
Bulan lalu, Presiden AS itu menulis bahawa Russia melakukan sangat sedikit, jika ada untuk membantu Teheran, sambil menegaskan beliau tidak mahu menjauhkan Moscow daripada rundingan bagi menamatkan perang di Ukraine. – AGENSI











