JBPM, bomba komuniti perkukuh latihan hadapi banjir

JBPM, bomba komuniti perkukuh latihan hadapi banjir

FARHAN SUFYAN BORHAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi banjir menerusi latihan dalaman dan latihan bersama agensi tindak balas, termasuk membabitkan Pasukan Bomba Sukarela serta Bomba Komuniti.

Pengarahnya, Farhan Sufyan Borhan berkata, penglibatan pasukan berkenaan penting bagi memperkukuh kerjasama serta meningkatkan keupayaan tindak balas di peringkat komuniti ketika menghadapi bencana.

Katanya, latihan itu memberi penekanan kepada pengoperasian menyelamat di kawasan banjir, pengendalian bot, kese­lamatan anggota, penyelarasan komunikasi, pengurusan sumber dan tindakan bersepadu ketika menghadapi kecemasan berskala besar.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pengurusan bencana banjir memerlukan kerjasama erat pelbagai agensi bagi memastikan operasi menyelamat, pemindahan mangsa dan penyampaian bantuan dapat dilaksanakan secara tersusun serta berkesan.

“JBPM Kelantan juga akan terus memperkukuh penyelara­san bersama agensi pengurusan bencana dan agensi tindak balas lain bagi memastikan setiap tindakan selaras de­ngan keperluan serta meka­nisme pengurusan bencana yang di­tetapkan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Dalam pada itu, sebanyak 45 bot penyelamat, 30 kenderaan pacuan empat roda dan lapan lori pengangkut disediakan bagi memastikan kelancaran pergerakan anggota, penghantaran peralatan, operasi mencari dan menyelamat serta pemindahan mangsa.

Katanya, penempatan dan pengagihan aset akan dilaksanakan secara strategik berdasarkan tahap risiko, keperluan operasi dan perkembangan situasi banjir di setiap daerah.

“Keutamaan diberikan kepada kawasan yang mempunyai sejarah kejadian banjir berulang serta lokasi yang dikenal pasti berpotensi mengalami gangguan perhubungan jalan darat.

“Pemeriksaan kesiapsiagaan dan kebolehoperasian aset turut diberikan perhatian bagi memastikan semua peralatan dapat digunakan dengan berkesan apabila berlaku kecemasan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini