KUALA LUMPUR: Kenderaan elektrik (EV) merekodkan purata kerugian akibat banjir sebanyak RM8,400, kira-kira empat kali lebih rendah berbanding RM34,000 bagi kenderaan enjin pembakaran dalaman (ICE), berdasarkan kajian Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM).
Ketua Pegawai Eksekutif PIAM, Chua Kim Soon berkata, perbezaan itu turut dilihat dari segi tahap perlindungan apabila kira-kira 50 peratus pemilik EV mempunyai perlindungan banjir berbanding hanya 13 peratus bagi pemilik kenderaan ICE.
“Bagi kenderaan ICE, purata kerugian akibat banjir adalah sebanyak RM34,000, manakala bagi EV, jumlahnya hanya RM8,400, iaitu kira-kira empat kali lebih rendah,” katanya.
“Antara faktor yang berkemungkinan menyumbang kepada perbezaan itu ialah ciri keselamatan EV, termasuk sistem elektrik yang lebih terlindung serta keupayaan mengasingkan bekalan voltan tinggi secara automatik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi Meja Bulat Media PIAM bertemakan Risiko Monsun, Perlindungan dan Pemulihan: Menghadapi Ribut Bersama-sama di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, corak penggunaan EV yang lebih tertumpu kepada perjalanan bandar dan sebagai kenderaan kedua juga berkemungkinan mempengaruhi tahap pendedahan kenderaan berkenaan kepada risiko banjir.
“Bagaimanapun, perlindungan banjir bagi insurans motor komprehensif tidak diberikan secara automatik, sebaliknya perlu diambil sebagai perlindungan tambahan dengan bayaran premium berasingan.
“Pemilik kenderaan perlu menyemak polisi masing-masing kerana insurans motor komprehensif tidak semestinya melindungi kerosakan akibat banjir.
“Bagi kenderaan dengan jumlah diinsuranskan RM100,000, premium tambahan untuk perlindungan banjir adalah antara RM150 hingga RM500, bergantung kepada lokasi dan syarikat insurans,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, kerugian akibat banjir di Malaysia pada 2024 dianggarkan hampir RM1 bilion, namun hanya sebahagian kecil daripada jumlah kerugian itu dilindungi insurans.
Chua berkata, risiko banjir turut memberi kesan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS), khususnya apabila kerosakan terhadap premis perniagaan, mesin dan inventori menyebabkan gangguan operasi serta kehilangan pendapatan.
Katanya, gangguan operasi akibat bencana alam boleh memberikan kesan berpanjangan kepada perniagaan, termasuk menjejaskan keupayaan syarikat mengekalkan pekerjaan sekiranya tidak mempunyai perlindungan kewangan mencukupi.
“Sehubungan itu, industri insurans sedang mengadakan perbincangan dengan Bank Negara Malaysia bagi meningkatkan tahap perlindungan banjir dalam kalangan PKS, termasuk menerusi langkah pengurangan risiko dan khidmat penilaian oleh jurutera risiko,” katanya.
Tambahnya, penilaian berkenaan membolehkan syarikat insurans mencadangkan langkah pencegahan seperti pembinaan benteng perlindungan banjir dan penyelenggaraan sistem saliran bagi mengurangkan risiko kerosakan terhadap aset perniagaan.-UTUSAN











