12,033 pemandu teksi, kereta sewa terima bantuan RM1,000

12,033 pemandu teksi, kereta sewa terima bantuan RM1,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seramai 12,033 pemandu teksi dan kereta sewa akan menerima bantuan khas sebanyak RM1,000 yang mula dilaksanakan sejak 4 November lalu.

Kementerian Pengangkutan melalui Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dalam kenyataan berkata, pembayaran Bantuan Khas Kewangan itu akan dibuat menerusi pindahan terus ke akaun bank atau pembayaran tunai di kaunter bank.

Katanya, kira-kira 15,062 pemandu teksi dan kereta sewa telah berdaftar untuk menerima bantuan itu berdasarkan rekod kad pemandu yang masih aktif sehingga 30 September lalu.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Daripada jumlah itu, seramai 2,619 pemandu sudah menerima bantuan menerusi baucar tunai Bank Simpanan Nasional (BSN) antara 14 Oktober hingga 2 November lalu.

“Penyerahan baucar berkenaan membabitkan pemandu yang dijemput menghadiri majlis penyerahan bantuan di Putrajaya, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Melaka dan Kedah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan tersebut, pemandu boleh menyemak status pembayaran menerusi akaun bank masing-masing atau Portal Bantuan Khas Kewangan di bantuanpemandu.mot.gov.my mulai 4 November lalu.

APAD turut memaklumkan lebih 80 peratus pemandu teksi dan kereta sewa dijangka menerima bantuan RM1,000 sebelum sambutan Deepavali pada 8 November ini.

“Bagi pemandu yang memperbaharui kad pemandu selepas 30 September hingga 25 Oktober lalu, proses pengemaskinian dan pengesahan data sedang dilaksanakan sebelum pembayaran dibuat.

“Pembayaran kepada kumpulan itu dijangka bermula 11 November ini menerusi pindahan terus ke akaun bank masing-masing atau secara tunai di kaunter bank.

“Status pembayaran juga boleh disemak menerusi portal berkenaan mulai tarikh sama,” katanya.

Sementara itu, pembayaran Bantuan Khas Kewangan RM1,000 kepada kira-kira 7,228 pemandu bas sekolah pula dijangka dilaksanakan dalam masa terdekat menerusi pindahan terus ke akaun bank masing-masing.

APAD berkata, pihaknya akan terus menyelaras pelaksanaan pembayaran bersama pihak berkaitan bagi memastikan bantuan berkenaan disalurkan kepada semua penerima yang layak dengan teratur dan lancar.

“Portal Bantuan Khas Kewangan bagi pemandu bas sekolah ditutup pada 30 Oktober lalu bagi membolehkan semakan dan pengesahan data dilaksanakan.

“Pemandu atau syarikat bas sekolah boleh menyemak status kelayakan pemandu yang didaftarkan menerusi portal sama mulai minggu kedua November ini,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini