Titah Sultan Nazrin akar kesejahteraan rakyat

Titah Sultan Nazrin akar kesejahteraan rakyat

TITAH Sultan Nazrin Muizzuddin Shah mengingatkan kemajuan sebenar hanya bermakna apabila kesejahteraan, pendidikan, perpaduan dan amanah terus dirasai rakyat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MENELUSURI beberapa titah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah sepanjang 2026, terserlah suatu ‘premis’ yang mendasari pemikiran baginda, iaitu denyut nadi rakyat.

Ketajaman pemikiran baginda dalam mengungkap gagasan kenegaraan, sama ada sebagai panduan, peringatan mahupun teguran, sering bertatahkan bahasa yang halus dan sarat hikmah.

Ungkapan “menasihati dengan hikmah, menegur dengan adab” bukan sahaja menyerlahkan kebijaksanaan pendekatan baginda, malah mencerminkan kehalusan budi dalam menyampaikan amanat.

Memuatkan artikel berkaitan…

Baginda turut menyulam titah dengan pengajaran al-Quran, kearifan pujangga dan khazanah persuratan Melayu.

Di sebalik keindahan ungkapan, tersirat persoalan mendasar, iaitu sejauh manakah kemakmuran benar-benar membumi dalam kehidupan rakyat?

Persoalan ini semakin relevan ketika masyarakat berhadapan dengan tekanan kos sara hidup, ketidaktentuan ekonomi dan perubahan teknologi.

Bagi rakyat kebanyakan, kesejahteraan bukan sekadar angka pertumbuhan ekonomi atau kemegahan pembangunan. Sebaliknya, ia terjelma melalui kemampuan menyediakan keperluan keluarga, memperoleh pendidikan berkualiti dan menikmati kehidupan yang lebih terjamin.

Dengan erti kata lain, kemakmuran yang hakiki sewajarnya meresap sehingga ke akar umbi dan menyantuni mereka yang berada di pinggir arus pembangunan.

Kemajuan sesebuah negeri akan lebih bermakna apabila manfaatnya dapat dirasai secara saksama tanpa mengabaikan kelompok yang memerlukan perhatian dan pembelaan.

Ketika merasmikan Persidangan Dewan Negeri Perak pada 14 April 2026, Sultan Nazrin mengingatkan tentang kesan pergolakan Asia Barat dan krisis tenaga global terhadap kehidupan rakyat.

Baginda menyeru kerajaan dan masyarakat memperkukuh kesiapsiagaan, mengamalkan perbelanjaan berhemat serta memelihara daya tahan ekonomi. Amanat tersebut memperlihatkan kepekaan baginda terhadap hubungan antara gejolak antarabangsa dengan denyut kehidupan seharian.

Kebijaksanaan mengurus khazanah negeri dan keprihatinan terhadap golongan yang memerlukan harus sentiasa seiring.

Dalam keadaan yang mencabar, semangat kebersamaan dan kesediaan saling membantu menjadi antara kekuatan yang memperteguh ketahanan masyarakat.

Dimensi kesejahteraan turut terserlah dalam titah baginda pada Persidangan Pemikiran dan Tamadun Islam Sedunia di Ipoh pada 21 Julai lalu. Penekanan terhadap kesihatan awam, pendidikan dan perpaduan sosial memperlihatkan pembangunan insan merupakan tunjang kemajuan negara.

Kemudahan asas dan peluang pendidikan bukan sekadar pelengkap pembangunan, bahkan cerminan penghormatan terhadap martabat manusia. Justeru, sudah pasti, kemajuan yang bermakna tidak seharusnya meninggalkan sesiapa di belakang.

ILMU MEMBENTUK MASA DEPAN

Dalam mendepani kecerdasan buatan (AI) dan automasi, pendidikan pula menuntut pembaharuan yang berpaksikan ilmu, kemahiran dan akhlak.

Generasi muda perlu dipersiapkan bukan sekadar untuk memperoleh pekerjaan tetapi menjadi insan yang berdaya fikir, berintegriti dan berkeupayaan menyesuaikan diri.

Pengiktirafan terhadap pendidikan teknikal dan vokasional juga wajar diperkukuh agar potensi anak bangsa dapat berkembang tanpa dibatasi tanggapan terhadap kedudukan akademik semata-mata.

Pendidikan yang menyuburkan akal dan membentuk sahsiah akan menjadi bekalan paling berharga dalam mendepani masa depan yang sarat dengan ketidakpastian.

Perpaduan sosial merupakan satu lagi gagasan penting dalam titah baginda. Dalam masyarakat majmuk, kepelbagaian agama, budaya dan pandangan ialah khazanah yang perlu dipelihara dengan kebijaksanaan.

Baginda mengingatkan perpaduan sosial menjadi jaminan keselamatan yang berkekalan. Pesanan ini semakin bermakna ketika ruang digital mudah menjadi medan prasangka dan persengketaan. Bukan sahaja keharmonian menuntut kesantunan berbicara malah tidak wajar dilupakan kesediaan menerima perbezaan dan mencari titik muafakat terhadap sesuatu isu yang timbul.

Semangat tersebut diperkukuh melalui titah pada 29 September yang mengangkat prinsip syura dan adab. Musyawarah dalam tradisi Islam mengajarkan perbezaan pandangan tidak semestinya membawa perpecahan.

Sebaliknya, kesediaan mendengar dan menghormati pandangan merupakan tanda kematangan masyarakat. Kearifan ini wajar dibumikan dalam kehidupan keluarga, organisasi dan pentadbiran agar pertimbangan ilmu mengatasi sentimen serta kepentingan bersama mendahului keinginan peribadi.

Aspek amanah pula mendapat penegasan dalam titah Mesyuarat Dewan Negara Perak pada 29 Oktober. Baginda mengingatkan agar kedudukan, gelaran dan pengaruh istana tidak disalahgunakan untuk kepentingan peribadi.

Peringatan tersebut membawa pengertian kemuliaan seseorang bukan semata-mata terserlah pada pangkat atau kebesaran tetapi pada budi pekerti, kejujuran dan manfaat khidmatnya. Integriti menjadi sendi yang memperteguh kepercayaan rakyat terhadap institusi.

Menoleh lembaran sejarah Kesultanan Perak yang menghampiri usia lima abad, hubungan raja dengan rakyat merupakan antara asas kesinambungan pemerintahan.

Dalam tradisi persuratan Melayu, Sulalat al-Salatin merakamkan ibarat rakyat sebagai akar dan raja sebagai pohon.

Kiasan ini pernah diangkat Sultan Nazrin dalam titah baginda pada tahun 2011. Falsafah tersebut mengingatkan kekuatan pohon bertunjangkan akar yang subur, sementara kerimbunannya memberikan naungan.

Demikianlah hubungan timbal balik antara institusi beraja dengan rakyat dalam kerangka Raja Berperlembagaan. Hubungan yang berakar pada sejarah ini terus menemukan maknanya melalui nilai amanah, kebijaksanaan dan keprihatinan yang merentas zaman.

Bersempena Hari Ulang Tahun Keputeraan baginda pada 6 November (semalam), penghayatan titah-titah tersebut sewajarnya melangkaui kemeriahan istiadat dan ungkapan taat setia.

Amanat baginda mengundang muhasabah tentang tanggungjawab memelihara amanah, memperkukuh muafakat dan memastikan kemakmuran benar-benar membumi.

Pada akhirnya, pohon pemerintahan akan terus teguh apabila akarnya terpelihara, manakala rakyat beroleh teduhan apabila naungannya membawa kesejahteraan. Di situlah tersemat kearifan ungkapan pusaka, “raja dan rakyat berpisah tiada.” –UTUSAN

 

PENULIS ialah Ketua Pusat Kajian Warisan dan Sejarah Perak, UniKL Royal College of Medicine Perak, Ipoh.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini