MELAKA: Calon Pakatan Harapan DUN Telok Mas mahu mewujudkan Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) berasaskan industri perikanan termasuk pembuatan bot dan jaring nelayan di kawasan itu bagi membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada golongan muda.
Kapten (B) Mohamad Jaafar berkata, bidang perikanan mempunyai potensi untuk dibangunkan memandangkan kawasan itu terletak berhampiran laut dan mempunyai ramai penduduk yang bekerja sebagai nelayan.
“Saya akan minta kerajaan Persekutuan daripada Datuk Seri Anwar Ibrahim mewujudkan TVET. TVET di DUN Telok Mas.
“Salah satu daripada saya nak wujudkan TVET ialah berkenaan dengan perikanan.
“Kita berhampiran dengan laut, kita wujudkan satu kilang ataupun membuat bot. Membuat bot nelayan. Kalau dah ada kemahiran buat bot nelayan ni, bot ni pun boleh dieksport,” katanya kepada pemberita selepas berkempen di Telok Mas.
Menurut Mohamad atau lebih dikenali sebagai Kapten Mat, program kemahiran itu turut dicadangkan untuk melatih golongan muda menghasilkan jaring nelayan secara profesional dengan penggunaan teknologi digital.
Katanya, pendekatan itu khususnya dapat membantu anak muda yang tidak mempunyai kelayakan pendidikan tinggi untuk memperoleh kemahiran dan menceburi bidang pekerjaan berkaitan perikanan.
“Kalau golongan Gen Z, yang muda-muda yang tak ada pendidikan tinggi ni, dia boleh kepada TVET tu.
“Buat bot, buat jaring, secara profesional. Cara orang kata, digitallah, Ia menyenangkanlah. Jadi pekerjaan tu dapat diwujudkan,” katanya.
Tambanya, peluang pekerjaan menjadi antara perkara yang ingin diberikan perhatian memandangkan sebahagian penduduk Telok Mas bekerja dalam sektor perkilangan termasuk industri elektronik, selain sektor swasta dan kerajaan.
Katanya, terdapat kawasan perindustrian di Telok Mas yang mempunyai kilang, namun ada antaranya telah ditutup.
Beliau turut berpandangan pembangunan ekonomi kawasan itu perlu diperkukuh dengan memanfaatkan kedudukannya di pesisir pantai.
Katanya, selain industri perikanan dan pembuatan, Telok Mas juga mempunyai potensi untuk menjana pendapatan melalui sektor pelancongan.
“Pantai di DUN Telok Mas ni sangat berhargalah orang kata dari segi pelancongan.
“Memang boleh wujudkan sektor pelancongan di DUN Telok Mas ni sebab kita di persisiran pantai,” katanya. -UTUSAN











