PAS kerja dipulangkan, meja dikosongkan tetapi pengalaman puluhan tahun tidak seharusnya terhenti begitu sahaja. Ilmu dan kemahiran pekerja senior masih boleh dimanfaatkan untuk membimbing generasi muda, menyelesaikan masalah serta membantu organisasi membuat keputusan.
Pendekatan terhadap pekerjaan selepas persaraan wajar dinilai semula ketika negara menghadapi penuaan penduduk, penurunan kadar kelahiran dan perubahan teknologi.
Negara memerlukan tenaga muda, namun individu berusia yang masih sihat, berkebolehan dan mahu bekerja juga berpotensi menyumbang.
Pada 26 Oktober lalu, Singapura mengumumkan kenaikan umur persaraan kepada 65 tahun dan umur penggajian semula kepada 70 tahun mulai Januari 2029. Langkah itu turut disokong peluasan pekerjaan fleksibel, bimbingan kerjaya dan bantuan kewangan kepada pekerja senior.
Malaysia mempunyai keadaan tersendiri tetapi pendekatan tersebut wajar diteliti dengan mengambil kira keperluan majikan, kemampuan individu dan peluang pekerjaan untuk golongan muda.
Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) sudah menyentuh keperluan menyemak akta berkaitan umur persaraan serta menggubal undang-undang penggajian semula. Perbincangan dalam Persidangan Kesejahteraan Sosial Antarabangsa 2026 anjuran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bersama Kementerian Kewangan turut mengetengahkan peluang bekerja lebih lama dengan mengambil kira kesihatan dan tanggungjawab keluarga.
Menurut unjuran Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), negara dijangka menjadi negara menua pada 2036 apabila penduduk berumur 60 tahun ke atas melebihi 15 peratus. Kadar kesuburan turut menurun daripada 1.6 anak bagi setiap wanita pada 2024 kepada 1.5 pada 2025.
Perkembangan ini menuntut perancangan awal bagi memastikan bekalan tenaga kerja dan perlindungan sosial terus terpelihara.
Kecerdasan buatan (AI) mampu mempercepat penyediaan laporan, menyusun maklumat dan membantu tugasan rutin. Namun, pekerja masih diperlukan untuk menyemak fakta, menilai kesilapan serta menentukan kesesuaian sesuatu keputusan. Oleh itu, pekerja senior perlu diberi latihan teknologi yang berkaitan dengan tugas, manakala golongan muda boleh mempelajari pertimbangan profesional daripada mereka yang berpengalaman.
Pengetahuan tersirat seperti kebolehan juruteknik mengenal pasti kerosakan melalui bunyi mesin sukar dipindahkan sepenuhnya melalui manual. Ilmu ini perlu dikongsi menerusi bimbingan, kajian kes dan rekod penyelesaian masalah.
Sebagai langkah awal, penggajian semula secara sukarela boleh diuji melalui kerja sambilan, kontrak projek atau tugasan khusus. Bekas tenaga pengajar boleh membimbing jurulatih muda, manakala pesara teknikal membantu menyemak mutu projek.
Pelantikan mesti berdasarkan kesihatan, keupayaan dan keperluan organisasi. Tempoh tugas, bayaran serta perlindungan pekerja juga perlu ditetapkan dengan jelas.
Pada masa sama, pengambilan pekerja muda dan laluan kenaikan pangkat tidak boleh terjejas. Kejayaan program perlu dinilai berdasarkan produktiviti, pemindahan ilmu dan keupayaan pekerja baharu melaksanakan tugas secara berdikari.
Program rintis selama dua hingga tiga tahun boleh dilaksanakan di sektor yang mengalami kekurangan kemahiran. Penilaiannya perlu merangkumi kos, mutu perkhidmatan, kesejahteraan pekerja senior serta peluang kerjaya golongan muda. Hasil kajian boleh menentukan sama ada program wajar diperluas, diperbaiki atau dihentikan.
Persaraan tidak semestinya menamatkan sumbangan seseorang. Malaysia perlu membuka ruang kepada generasi muda untuk maju, sambil memastikan pengalaman pekerja senior terus dimanfaatkan demi kemajuan negara.-UTUSAN
PROFESOR MADYA DR. LUTFAN JAES
Pensyarah,
Pusat Pengajian Umum
dan Kokurikulum,
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)











