DUBAI: Iran telah mengemukakan cadangan berkaitan isu nuklear kepada Amerika Syarikat (AS) menerusi Qatar yang hanya akan dibincangkan selepas Washington memenuhi tujuh tuntutan Teheran, menurut seorang pegawai kanan Iran kepada Reuters pada Khamis.
Pegawai itu yang enggan namanya didedahkan berkata, AS sedang meneliti cadangan berkenaan tetapi enggan memberikan maklumat lanjut.
Usaha pengantara untuk menamatkan perang antara Iran dan AS semakin dipergiatkan berikutan kebimbangan konflik itu boleh tercetus semula selepas pilihan raya pertengahan penggal AS.
Pegawai keselamatan tertinggi Iran, Mohsen Rezaei sebelum ini berkata pada Khamis ketika melakukan lawatan ke Russia: “Mengenai isu diplomasi, kami telah mengemukakan tujuh syarat kepada Amerika. Selagi mereka tidak memenuhi tujuh syarat kami, kami tidak akan membuka Selat Hormuz mahupun mengadakan rundingan.”
Iran menuntut sekatan AS ditarik balik, aset Iran yang dibekukan dibebaskan dan pampasan perang dibayar, selain beberapa syarat lain, manakala Washington menegaskan isu nuklear mesti menjadi sebahagian daripada sebarang rundingan awal.
AS dan Israel menyerang Iran pada 28 Februari lalu, sebelum Iran membalas dengan melancarkan serangan ke atas Israel dan negara-negara Teluk yang menempatkan pangkalan tentera AS.
Konflik turut tercetus di Lubnan antara Hizbullah disokong Iran dengan Israel, sebelum merebak ke Yaman apabila kumpulan Houthi yang berpihak kepada Iran melancarkan serangan terhadap kemudahan tenaga, lapangan terbang dan sasaran lain di Arab Saudi. – AGENSI











