Bermula sekadar mencuba mesin pencetak tiga dimensi (3D), Nur Shafa Ahmad Shukri tidak menyangka minat yang pada awalnya sekadar memenuhi kehendak suami itu akhirnya menjadi pekerjaan sepenuh masa dari rumah.
Wanita berusia 31 tahun yang berasal dari Kedah itu pada mulanya kurang bersetuju apabila suaminya berkehendak membeli mesin pencetak 3D.
Namun, selepas melihat sendiri kemampuan mesin berkenaan menghasilkan pelbagai objek, dia mula tertarik untuk menerokai teknologi itu.
Mempunyai Diploma Jurusan Pejabat, Nur Shafa mula menjual rantai kunci pada Oktober 2025 selepas teruja melihat objek yang dihasilkan berdasarkan fail reka bentuk daripada internet.
“Awalnya saya ikutkan kehendak suami sebab dia nampak menarik. Selepas cetakan pertama berjaya, saya teruja melihat mesin itu boleh menghasilkan pelbagai benda mengikut fail yang ada di web.
“Macam tidak percaya teknologi seperti ini ada,” katanya kepada Seri.
Minat terhadap seni yang dipupuk sejak kecil turut menjadi pendorong apabila dia gemar melukis dan mewarna, malah sering memperoleh keputusan yang baik dalam mata pelajaran Seni ketika di bangku sekolah.
Minat itu kemudian berkembang apabila dia mula meneroka pelbagai kemungkinan melalui teknologi pencetakan 3D, terutama menghasilkan rantai kunci dengan bentuk dan rekaan unik.
Inspirasi turut diperoleh daripada hasil kerja pengusaha di luar negara yang menawarkan rekaan berbeza daripada rantai kunci biasa, sekali gus membuka fikirannya terhadap potensi produk itu untuk dipasarkan.
“Ketika itu saya terfikir juga sama ada produk ini boleh dijual atau tidak kerana saya belum pernah melihat orang Malaysia menjualnya,” katanya.
Bermula dengan rantai kunci nama
Rantai kunci pertama yang dijual Nur Shafa ialah rantai kunci nama biasa pada harga RM5 bagi lima huruf.
Pada peringkat awal, dia menggunakan reka bentuk sedia ada daripada platform MakerWorld sebelum mula menghasilkan rekaan sendiri apabila semakin mahir mengendalikan mesin itu.
Bersama suaminya, Nur Shafa mempelajari teknologi berkenaan secara sendiri melalui kaedah cuba jaya, selain merujuk tutorial dari luar negara untuk memahami fungsi mesin, termasuk cara memasukkan warna semasa proses cetakan.

Sebelum memberi tumpuan kepada rantai kunci, dia turut bereksperimen menghasilkan pelbagai objek lain seperti bekas gula-gula, pasu dan paparan untuk menyusun rantai kunci.
Dalam proses menghasilkan rekaan, suaminya memainkan peranan mereka bentuk huruf menggunakan perisian Fusion 360, manakala Nur
Shafa pula mencari idea dan menghasilkan hiasan tambahan atau charms menggunakan aplikasi Tinkercad.
Untuk menghasilkan hiasan itu, dia mendapatkan imej percuma daripada Google, menyimpannya dalam format SVG sebelum mengolahnya menggunakan Tinkercad mengikut reka bentuk yang diinginkan.
Proses menghasilkan rekaan menjadi lebih mudah apabila sudah mempunyai idea yang ingin direalisasikan.
“Prosesnya tidak banyak dan mudah, asalkan ada idea, kita boleh buat,” ujarnya.
Keychain gemok, flower candy jadi pilihan
Antara rekaan terawal yang diperkenalkan Nur Shafa ialah Keychain Gemok, yang dinamakan berdasarkan bentuknya yang besar dan tebal.
Produk itu mendapat sambutan hangat ketika mula dipasarkan sebelum Flower Candy pula mencuri perhatian pelanggan dan menjadi antara rekaan yang mendapat permintaan.
Lebih istimewa, Flower Candy merupakan rekaan pertama yang dihasilkan menggunakan idea sendiri, menjadikannya produk paling disayangi Nur Shafa setakat ini.
Dalam menghasilkan rekaan baharu, dia banyak mendapatkan inspirasi daripada Pinterest dan TikTok sebelum mengolah idea yang ditemui mengikut kreativiti sendiri.
Selain bentuk, pemilihan warna turut menjadi antara perkara yang diberi perhatian bagi memastikan rantai kunci tampil menarik dan sesuai dengan peredaran masa.

Ketika mula menjual produknya, Nur Shafa memilih gabungan warna strawberi matcha yang ketika itu sedang menjadi trend.
Pilihan berkenaan mendapat sambutan baik daripada pelanggan, sekali gus mendorongnya untuk terus bereksperimen dengan kombinasi warna lain.
“Saya paling sayang rekaan Flower Candy kerana itu rekaan rantai kunci pertama hasil idea saya sendiri. Saya juga tidak menyangka orang dari negara luar turut menyukai rekaan itu,” ujarnya.
Cetak 40 minit untuk lima huruf
Keistimewaan menghasilkan rantai kunci menggunakan mesin pencetak 3D ialah kebebasan untuk merealisasikan pelbagai idea mengikut permintaan pelanggan, termasuk menghasilkan rekaan yang mempunyai nilai peribadi.
Bagi rantai kunci dengan lima huruf, proses cetakan mengambil masa kira-kira 40 minit, tidak termasuk masa tambahan untuk menambah hiasan seperti bunga, bentuk hati kecil dan bintang.
Selain tempahan nama, Nur Shafa turut menerima permintaan untuk menghasilkan rantai kunci yang menampilkan wajah anak pelanggan atau watak kartun kegemaran mereka.
Malah, peminat K-pop dan anime juga antara pelanggan yang mendapatkan khidmatnya untuk menghasilkan rekaan berdasarkan minat masing-masing.
Baginya, keistimewaan rantai kunci cetakan 3D berbanding produk biasa ialah pelanggan boleh menentukan reka bentuk mengikut kehendak sendiri, bukan sekadar memilih rekaan sedia ada di pasaran.

Dari segi bahan dan peralatan, dia menggunakan tali paracord yang dipotong dan disulam sendiri, selain keyring untuk menggantung rantai kunci. Gunting dan pemetik api turut digunakan bagi menyempurnakan kemasan tali berkenaan.
Aspek kemasan turut diberikan perhatian selepas proses cetakan selesai. Nur Shafa akan memastikan tetapan dalam perisian slicer dibuat dengan betul bagi mendapatkan permukaan rantai kunci yang licin.
Dia juga menggunakan alat penghembus udara bagi menghilangkan bulu halus yang kadangkala muncul ketika proses cetakan.
Cetak sembilan kali demi hasil kemas
Di sebalik kemampuan mesin pencetak 3D menghasilkan pelbagai rekaan, Nur Shafa turut berdepan cabaran apabila hasil cetakan tidak menepati jangkaan.
Nur Shafa berkata, mesin itu memerlukan pemeriksaan berkala bagi memastikan proses cetakan berjalan lancar dan hasilnya memenuhi kualiti yang diinginkan.
Jika cetakan tidak menjadi, dia akan mengulangi proses berkenaan sehingga memperoleh hasil yang memuaskan.
Malah, dia pernah mencetak produk paparan rantai kunci sehingga sembilan kali sebelum berjaya mendapatkan hasil yang dikehendaki.
“Mesin pencetak 3D ini agak manja dan perlu diperiksa secara berkala. Kalau hasil cetakan tidak menjadi, saya akan cuba lagi sehingga hasilnya betul-betul memuaskan.
“Suami akan membantu saya dari segi mesin, manakala saya akan terus cuba untuk mendapatkan hasil yang dikehendaki,” jelasnya.

Ujarnya, kemasan merupakan aspek penting yang tidak boleh dikompromi dalam setiap produk, terutama bagi tempahan yang dibuat mengikut permintaan pelanggan.
Sekiranya terdapat huruf yang kurang kemas atau hasil cetakan tidak memenuhi standard yang ditetapkan, dia sanggup mengulangi proses mencetak sehingga berpuas hati.
Ketelitian itu penting bagi memastikan setiap produk menepati reka bentuk yang diminta pelanggan dan mempunyai hasil akhir yang memuaskan.
Ada kenangan tersendiri
Selain menerima tempahan rantai kunci berdasarkan nama dan karakter kegemaran, Nur Shafa turut menghasilkan produk yang membawa nilai sentimental kepada pelanggan.
Antara yang paling diingatinya ialah tempahan daripada seorang ibu yang kehilangan anak dan mahu menghasilkan rantai kunci dengan nama anaknya bersama watak kartun kegemaran si kecil itu pada rantai kunci.
Tempahan berkenaan memperlihatkan bahawa rantai kunci yang dihasilkan bukan sekadar aksesori, malah boleh menjadi kenangan bermakna buat pemiliknya.
Dia juga terbuka menerima permintaan yang unik atau di luar kebiasaan kerana menganggapnya sebagai peluang untuk mencuba sesuatu yang baharu dan mengembangkan kreativiti.
Seiring pengalaman yang semakin bertambah, kemahirannya turut berkembang daripada sekadar menggunakan reka bentuk sedia ada di internet kepada menghasilkan rekaan berdasarkan idea sendiri.

Buka studio kecil
Sebelum menceburi bidang percetakan 3D, Nur Shafa pernah mencuba beberapa perniagaan lain.
Melihat reaksi positif orang ramai terhadap produk yang dikongsikannya di media sosial, dia mula menyedari potensi mesin pencetak 3D sebagai sumber pendapatan.
Kini, usaha yang bermula sekadar mencuba itu berkembang menjadi pekerjaan sepenuh masa dari rumah menerusi Shaflow Studio.
Selain rantai kunci, dia turut menerima tempahan pelbagai produk lain seperti paparan rantai kunci untuk pengusaha kraf, plat nama, paparan kod QR, papan nama jenama, kit DIY rantai kunci dan clickers.
Shafa mahu terus mengembangkan Shaflow Studio dengan menghasilkan lebih banyak produk selain rantai kunci, di samping mengekalkan kualiti setiap tempahan.
Sebagai langkah seterusnya, dia merancang membuka studio kecil di Bangunan Ukir, Alor Setar, Kedah, pada awal November ini.











