Bersenam juga boleh dilakukan di rumah

Bersenam juga boleh dilakukan di rumah

INISIATIF bersenam di rumah ini seiring dan menyokong secara langsung dasar kerajaan melalui Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) serta kempen ‘10,000 Langkah Sehari’.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LAPORAN Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) mendedahkan sebanyak 54.4 peratus orang dewasa di Malaysia mengalami masalah berat badan berlebihan atau obesiti.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, hampir separuh atau 49.9 peratus rakyat dewasa di negara ini mengamalkan corak hidup sedentari. Krisis fizikal pasif ini menyumbang kepada lonjakan beban penyakit tidak berjangkit (NCD), menelan kos rawatan dan pengurusan negara.

Bagi mendepani ancaman ini, pakar kesihatan menyarankan aktiviti berjalan pantas di dalam rumah (indoor brisk walking) sebagai alternatif kardio rendah impak yang selamat dan praktikal.

Memuatkan artikel berkaitan…

Selain menguatkan fungsi jantung dan membakar kalori, brisk walking terbukti memberi manfaat besar kepada ekosistem usus dan sistem pencernaan.

Ini merangsang motiliti usus sekali gus mencegah sembelit dan kembung perut, meningkatkan aliran darah ke saluran gastrousus, mengurangkan risiko kanser kolon, serta menyokong keseimbangan bakteria baik dalam perut.

Senaman ini boleh dipraktikkan dengan berjalan mundar-mandir di ruang tamu, koridor bilik, mahupun berjalan setempat yang berpandukan platform digital.

Rutin ini bukan sahaja membakar lebihan kalori dan mengelakkan sendi kaku, malah membantu melegakan tekanan mental akibat terperap lama di dalam bangunan.

Inisiatif bersenam di rumah ini seiring dan menyokong secara langsung dasar kerajaan melalui Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) serta kempen “10,000 Langkah Sehari”, yang menggalakkan masyarakat membudayakan amalan aktif.

Sebelum memulakan aktiviti berjalan di dalam kediaman, sediakan ruang pergerakan yang benar-benar selamat.

Pemakaian sepatu bertapak rata dengan kusyen yang lembut sangat disyorkan bagi menyerap hentakan langsung di atas permukaan lantai jubin yang keras, sekali gus memelihara sendi lutut dan buku lali daripada kecederaan.

Mulakan latihan secara beransur-ansur sekitar 10 hingga 15 minit sehari terlebih dahulu sebelum menambah tempoh dan kelajuan berjalan secara berperingkat mengikut kemampuan tubuh.

Aspek hidrasi juga perlu diberi penekanan serius dengan memastikan pengambilan air kosong yang secukupnya bagi keperluan badan. Walaupun bersenam di dalam ruang tertutup yang berhawa dingin kelihatan tidak memenatkan, badan tetap kehilangan cecair melalui peluh dan pernafasan aktif.

Justeru, minum air secukupnya sebelum, semasa, dan selepas senaman amat kritikal untuk mengelakkan dehidrasi serta mengekalkan metabolisme badan pada tahap terbaik. – UTUSAN

SYARIFAH MASYITAH HABIB DZULKARNAIN
Jabatan Teknologi Makmal Perubatan, Fakulti Sains Kesihatan
UiTM Cawangan Pulau Pinang, Kampus Bertam

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini