SHANGHAI: Sebuah pesawat Boeing 787-9 Dreamliner milik Thai Airways terpaksa berpatah balik ke Shanghai selepas juruterbang mengesan keretakan pada cermin kokpit sejurus selepas berlepas menuju Bangkok kelmarin.
Keretakan itu dikesan kira-kira pukul 7.15 pagi ketika pesawat yang mengendalikan penerbangan TG 663 dari Shanghai ke Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi, Bangkok, sedang dalam penerbangan.
Juruterbang dilaporkan menghubungi lapangan terbang berlepas sebaik menyedari kerosakan berkenaan sebelum mengambil keputusan untuk berpatah balik.
Pesawat itu dilaporkan berpusing di udara bagi melepaskan sebahagian bahan api sebelum kembali ke Shanghai bagi mengurangkan beratnya ketika mendarat.
Rakaman yang dipercayai menunjukkan pesawat berkenaan melepaskan bahan api turut tular di media sosial.
Video itu memaparkan pesawat berkenaan terbang di ruang udara yang dilitupi awan ketika proses pelepasan bahan api dilakukan.
Keretakan pada cermin kokpit boleh menimbulkan risiko keselamatan penerbangan. Bagaimanapun, pesawat penumpang moden direka untuk menahan kerosakan tertentu pada cermin, manakala juruterbang dilatih mengikuti prosedur keselamatan bagi menghadapi situasi sedemikian.
Keadaan sebenar kerosakan pada cermin kokpit pesawat TG 663 itu bagaimanapun belum disahkan secara rasmi.
Thai Airways setakat ini belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung insiden itu, termasuk mengenai kerja pembaikan pesawat, pengurusan penumpang atau tindakan susulan yang akan diambil, menurut laporan berkenaan.
Insiden sama turut dilaporkan berlaku pada Februari tahun lalu apabila keretakan pada cermin kokpit dikesan ketika sebuah pesawat dalam penerbangan dari Bangkok ke Singapura.
Pesawat itu kemudian berpatah balik ke Bangkok dan berjaya mendarat dengan selamat.
Pada Januari tahun sama, satu lagi insiden kecemasan dilaporkan berlaku di Lapangan Terbang Antarabangsa Phuket apabila sebuah pesawat yang dipercayai dikendalikan Thai Airways melakukan pendaratan kecemasan susulan kegagalan enjin.
Syarikat penerbangan itu memberi jaminan pesawat berkenaan berjaya mendarat dengan selamat dan semua penumpang serta kru kabin tidak mengalami sebarang kecederaan.- AGENSI










