PASIR MAS: Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas 310.8 kilogram (kg) kayu gaharu bernilai keseluruhan RM3.47 juta selepas menyerbu sebuah premis di Chicha Tinggi di sini, semalam.
Dalam serbuan pukul 5 petang itu, PGA turut menahan dua wanita masing-masing berusia 19 dan 54 tahun bagi membantu siasatan berhubung kegiatan menyimpan kayu gaharu tanpa lesen atau permit yang sah.
Komander Briged Tenggara, Datuk Ahmad Radzi Husain berkata, bertindak atas maklumat risikan sepasukan anggota telah melakukan serbuan ke lokasi untuk melakukan pemeriksaan.
Katanya, pemeriksaan telah menemukan pelbagai saiz kayu serta kepingan kayu yang disyaki gaharu di bahagian stor dan sebuah kilang lama bersebelahan rumah berkenaan.
“Hasilnya kita merampas 197 batang kayu gaharu, 310.8kg kepingan kayu gaharu yang dianggarkan lebih RM3,47 juta
“Anggota kemudian meminta kedua-dua wanita yang mengaku sebagai pemilik rumah mengemukakan dokumen berkaitan pemilikan kayu berkenaan sebelum mereka menyerahkan 11 keping dokumen yang diragui,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Ahmad Radzi memberitahu, siasatan awal mendapati premis berkenaan pernah digunakan sebagai lokasi latihan Jabatan Perhutanan Malaysia antara 2011 hingga 2015.
Katanya, lokasi itu dipercayai beroperasi sejak tahun 2000 dan mempunyai lesen mengumpul kayu gaharu.
“Bagaimanapun, aktiviti yang dikesan dalam serbuan ini ialah penyimpanan kayu gaharu tanpa lesen atau permit yang sah.
“Kayu berkenaan dipercayai diperoleh dari hutan dan tanah milik persendirian sekitar Kelantan sejak 2016 sebelum lesen atau permit memindah ditamatkan oleh Jabatan Perhutanan pada tahun sama,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Ahmad Radzi berkata, pemilik asal kilang berkenaan telah meninggal dunia pada 6 September lalu dan semua kayu gaharu itu diuruskan serta dijaga sepenuhnya oleh keluarganya.
Katanya, kedua-dua wanita bersama semua barang rampasan diserahkan kepada Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan pada malam sama untuk siasatan mengikut Seksyen 84 Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313).-UTUSAN











