LONDON: Bekas pemain golf No.1 dunia, Jon Rahm mengambil keputusan meninggalkan LIV Golf selepas tidak sehaluan dengan perubahan hala tuju yang dirancang penganjur liga berkenaan, sekali gus membuka tanda tanya mengenai masa depannya dalam arena golf profesional.
Rahm yang menyertai LIV Golf pada Disember 2023 ketika masih bergelar juara Masters berkata, dia tidak bersedia menerima perubahan menerusi pelan LIV 2.0 kerana masih banyak perkara yang belum jelas mengenai masa depan projek berkenaan.
Pemenang dua gelaran utama itu berkata, meskipun tiga tahun bersama LIV Golf memberikan pengalaman positif dengan kejayaan secara individu dan berpasukan, perubahan yang dicadangkan menyebabkan dia memilih untuk tidak meneruskan komitmen.
“Saya hanya mampu mengenang tiga tahun itu sebagai pengalaman positif. Ia pengalaman yang cukup hebat. Saya bermain banyak golf berkualiti dan sudah tentu, secara individu serta berpasukan, kami mencapai keputusan yang baik.
“Walaupun saya menyukai projek dan idea yang dibawa menerusi LIV 1.0, tapi saya kurang senang dengan perubahan yang mereka lakukan untuk LIV 2.0 dan saya tidak bersedia untuk mengikuti hala tuju berkenaan,” katanya.
Kenyataan itu merupakan penjelasan terbuka pertama Rahm sejak mengumumkan keputusan meninggalkan LIV Golf bulan lalu, selepas meneliti sendiri terma baharu yang dicadangkan sebelum menganggapnya tidak boleh diterima.
Perkembangan itu hadir ketika LIV Golf sedang berusaha keluar daripada perlindungan kebankrapan Bab 11 menerusi penstrukturan semula model pemilikan serta cadangan pengaturan pelaburan baharu bersama BC Partners Credit.
Rahm, yang memenangi gelaran individu keseluruhan dalam setiap musim penyertaannya di LIV Golf, turut merancang untuk kembali memberi tumpuan kepada Jelajah DP World yang berpangkalan di Eropah pada 2027.
Bagaimanapun, laluan untuk kembali ke Jelajah PGA masih belum dipastikan apabila dia mengakui belum mengadakan sebarang perbincangan dengan pihak penganjur mengenai kemungkinan beraksi semula di litar berkenaan. – AGENSI
KAPSYEN
JON RAHM











