PASIR PUTEH: Seorang lelaki yang diuji dengan penyakit jantung tidak patah semangat apabila masih gigih mengutip kelapa dengan bantuan seekor beruk bagi menyara keluarga.
Zamri Mat, 58, berkata, dengan bantuan haiwan itu dia mengutip kira-kira 200 biji kelapa sehari dengan memperoleh hasil sehingga RM100 namun bergantung kepada keadaan termasuk cuaca.
“Sudah dua tahun saya melakukan kerja ini untuk meneruskan kelangsungan hidup selain menyara kehidupan.
“Walaupun tahap kesihatan tidak menentu, ini antara ikhtiar bagi memastikan dapur rumah terus berasap,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Selising di sini.
Zamri memberitahu, dia bersyukur kerana haiwan tersebut sihat dan mampu memberikan khidmat terbaik buat dia dan keluarga.
Katanya, dia membeli beruk berkenaan dari seorang penduduk di Kampung Gaal semasa haiwan berkenaan berusia dua tahun.
“Impian saya untuk memohon bantuan mesin atau peralatan mengupas kelapa bagi membolehkan ia mudah dijual,” ujarnya. – UTUSAN











