KUALA LUMPUR: Beberapa Ahli Parlimen hari ini membidas Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang didakwa menyifatkan Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA) ditandatangani antara Ahli Parlimen pembangkang dengan kerajaan sebagai ‘pendekatan Dajjal’.
Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan membangkitkan isu itu ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2027 di Dewan Rakyat, hari ini.
“Ada satu kalimah baharu yang disebutkan salah seorang Ahli Parlimen di negara kita, dia kata yang tandatangani CSA ini Dajjal. Dajjal ini penipu besar, pendusta, pembohong.
“Dia kata kepada Yang Berhormat Putrajaya ‘memang saja saya ‘jolok’ Putrajaya’,” katanya merujuk Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Dr Radzi Jidin daripada Bersatu.
Membalas kenyataan Mohd Sany, Radzi yang turut menandatangani CSA itu, menyifatkan perkataan Dajjal sebagai tuduhan yang berat dan meminta kerajaan menyiarkan kandungan CSA berkenaan.
“Dajjal ini berat tuduhannya. Cuba baca betul-betul (CSA), kita dalam berpolitik, dalam keadaan dunia berperang dan perang dagang dan tempoh nak pilihan raya pun tak sampai setahun lagi.
“Sekurang-kurangnya demi ekonomi negara dan rakyat, kita tandatangani CSA,” katanya.
Ahli Parlimen PH Ipoh Timur, Lee Chuan How turut mempersoalkan gelaran Dajjal itu hanya kerana semata-mata beberapa Ahli Parlimen menandatangani CSA.
“Penggunaan satu istilah yang begitu berat sampai nak menggelar seorang itu Dajjal semata-mata tidak berapa setuju orang itu tandatangani CSA. Adakah orang yang keluar kenyataan dan istilah itu wajar atau tak wajar?” kata wakil rakyat DAP berkenaan.
Sebelum ini, Abdul Hadi dilapor menyifatkan pemeteraian CSA sebagai satu ‘pendekatan Dajjal’ kerana dianggap mengkhianati amanah.
Abdul Hadi berkata, negara seluruh dunia menerima amalan segala hasil negara menjadi hak rakyat, sama ada diperoleh secara langsung atau tidak.
Kerajaan MADANI pada minggu lalu memeterai CSA dengan enam Ahli Parlimen mewakili BERSATU dan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman daripada Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) serta enam Ahli Parlimen BERSATU yang dipecat parti itu pada 2024.
Menerusi perjanjian itu, semua 13 Ahli Parlimen berkenaan bersetuju menyokong pentadbiran Kerajaan MADANI sehingga tamat penggal Parlimen semasa, termasuk dalam undian penting berkaitan Belanjawan 2027.











