Janji temu semakin mahal, lelaki tanggung beban

Janji temu semakin mahal, lelaki tanggung beban

Dalam kebanyakan keadaan, lelaki masih dilihat sebagai pihak yang perlu menyediakan wang untuk menanggung perbelanjaan ketika keluar bersama pasangan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Janji temu bukan sekadar peluang untuk mengenali hati budi pasangan, sebaliknya turut melibatkan perbelanjaan yang adakalanya boleh membebankan, terutama apabila kos makan, pengangkutan dan aktiviti bersama semakin meningkat.

Bagi sesetengah pasangan, keluar bersama mungkin perkara biasa yang dilakukan untuk meluangkan masa dan mengeratkan hubungan, namun, di sebalik momen manis itu, persoalan tentang siapa yang perlu membayar bil sering menjadi perkara yang tidak dibincangkan secara terbuka.

Dalam kebanyakan keadaan, lelaki masih dilihat sebagai pihak yang perlu menyediakan wang untuk menanggung perbelanjaan ketika keluar bersama pasangan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Keadaan itu turut mencetuskan persoalan sama ada tanggungjawab membayar ketika janji temu masih dianggap sebagai peranan lelaki atau sepatutnya dikongsi secara bersama.

Penyelidik Ekonomi LEGASI Research, Firdzan Yassin berkata, perbelanjaan janji temu kebiasaannya lebih banyak ditanggung lelaki berdasarkan hasil tinjauan yang dijalankan organisasi berkenaan.

Dalam tinjauan berkenaan, pusat beli-belah dan kafe atau restoran menjadi antara lokasi pilihan utama pasangan untuk mengadakan janji temu.

“Kedua-dua lokasi itu menawarkan ruang untuk pasangan meluangkan masa bersama, sama ada sekadar menikmati hidangan, berbual atau melakukan aktiviti santai.

“Tidak hairanlah makanan dan minuman menjadi perbelanjaan paling lazim ketika janji temu, berbanding aktiviti lain seperti membeli hadiah, pengangkutan dan hiburan,” katanya.

Keadaan itu menunjukkan aktiviti makan bersama masih menjadi pilihan mudah bagi pasangan kerana tidak memerlukan perancangan yang terlalu rumit.

Selain itu, pasangan juga mempunyai kebebasan memilih tempat makan mengikut kemampuan masing-masing, daripada premis sederhana hinggalah restoran yang menawarkan pengalaman lebih eksklusif.

Bagi pasangan yang kerap keluar bersama, perbelanjaan untuk makan, minum dan pengangkutan juga boleh meningkatkan jumlah wang yang perlu diperuntukkan setiap bulan.

Belanja sehingga ratusan ringgit

Jumlah wang yang dibelanjakan bagi satu janji temu berbeza mengikut pilihan lokasi, aktiviti serta kemampuan kewangan setiap pasangan.

Ada yang selesa memilih tempat makan sederhana, manakala sebahagian lain sanggup mengeluarkan wang lebih untuk menikmati pengalaman tertentu bersama pasangan.

Tinjauan LEGASI Research mendapati lebih separuh responden membelanjakan antara RM51 hingga RM200 bagi satu janji temu.

Jumlah itu menggambarkan aktiviti keluar bersama bukan semestinya memerlukan perbelanjaan besar, namun tetap boleh melibatkan kos yang agak tinggi bergantung pada perancangan.

Bagi pasangan yang kerap berjumpa, perbelanjaan berkenaan juga boleh menjadi komitmen bulanan yang perlu diambil kira bersama keperluan lain.

Menurutnya, bagi golongan muda yang masih belajar atau baru memulakan kerjaya, perbelanjaan untuk janji temu perlu diseimbangkan dengan kos sara hidup dan tanggungjawab kewangan masing-masing.

Justeru, pemilihan aktiviti mengikut kemampuan menjadi penting supaya keinginan meluangkan masa bersama tidak menjejaskan kedudukan kewangan.

Lelaki lebih banyak menanggung bayaran

Isu siapa yang membayar ketika janji temu turut memperlihatkan perbezaan amalan antara lelaki dan wanita.

Sebahagian besar lelaki dalam tinjauan itu menyatakan mereka lazimnya membayar keseluruhan perbelanjaan ketika keluar bersama pasangan.

Sebaliknya, wanita lebih cenderung kepada kaedah pembayaran secara bergilir, selain ada yang membiarkan pasangan menanggung kos berkenaan.

Amalan membayar secara bergilir boleh dilihat sebagai usaha berkongsi tanggungjawab, terutama bagi pasangan yang mahu memastikan perbelanjaan tidak hanya diletakkan pada satu pihak.

Namun, perbezaan amalan itu menunjukkan tanggapan bahawa lelaki perlu membayar ketika janji temu masih wujud dalam hubungan sesetengah pasangan.

Menurut Firdzan, lelaki didapati lebih banyak menanggung perbelanjaan janji temu berbanding wanita berdasarkan jawapan responden.

Keadaan itu juga dapat dilihat apabila sebahagian lelaki mengakui mereka membayar sendiri perbelanjaan, sedangkan wanita lebih ramai memilih untuk berkongsi atau bergilir-gilir membayar.

Janji temu pertama lebih banyak belanja

Perbelanjaan ketika pertemuan pertama juga mempunyai corak tersendiri apabila segelintir individu mengakui mereka sanggup mengeluarkan wang lebih ketika janji temu pertama.

Situasi itu mungkin berkait dengan keinginan untuk memberikan pengalaman yang baik ketika mula mengenali seseorang, selain menjadikan pertemuan pertama lebih bermakna.

Katanya, kecenderungan berbelanja lebih pada janji temu pertama lebih ketara dalam kalangan lelaki berbanding wanita.

Namun, perbelanjaan yang tinggi tidak semestinya menjadi ukuran kesungguhan seseorang dalam menjalinkan hubungan.

Sebaliknya, keselesaan ketika berkomunikasi dan keserasian antara dua individu turut memainkan peranan dalam menentukan hala tuju sesuatu hubungan.

Kos janji temu beri tekanan kewangan

Walaupun janji temu sering dikaitkan dengan pengalaman menggembirakan, kos yang terlibat boleh menimbulkan tekanan apabila perbelanjaan melebihi kemampuan.

Hampir separuh responden menganggap kos janji temu sebagai mahal, sekali gus menunjukkan isu kewangan bukan perkara asing dalam kalangan mereka yang aktif keluar bersama pasangan.

Tekanan itu lebih ketara dalam kalangan lelaki apabila mereka didapati lebih ramai mengakui berdepan kesukaran kewangan akibat perbelanjaan janji temu.

Malah, terdapat juga individu yang pernah meminjam wang bagi menampung kos keluar bersama pasangan, dengan kecenderungan itu lebih tinggi dalam kalangan lelaki.

Menurut Firdzan, lelaki bukan sahaja lebih tertekan dengan kos janji temu, malah lebih cenderung berhutang berbanding wanita.

“Lelaki lebih tertekan dengan kos janji temu dan mereka lebih sanggup berhutang berbanding perempuan,” katanya.

Dapatan itu memberi gambaran keinginan memenuhi jangkaan ketika keluar bersama boleh mendorong seseorang berbelanja melebihi kemampuan sendiri.

Dalam keadaan tertentu, tindakan sedemikian berisiko menjejaskan pengurusan kewangan sekiranya dilakukan berulang kali tanpa mengambil kira pendapatan dan komitmen bulanan.
RM50 hingga RM200 dianggap ideal

Meskipun kos janji temu boleh mencecah ratusan ringgit, kebanyakan individu sebenarnya mempunyai anggaran perbelanjaan yang dianggap sesuai untuk aktiviti berkenaan.

Jumlah antara RM50 hingga RM200 menjadi pilihan utama apabila responden ditanya mengenai perbelanjaan ideal bagi satu janji temu.

Anggaran itu menunjukkan pasangan masih mempunyai ruang untuk menikmati masa bersama tanpa perlu memilih aktiviti yang terlalu mahal.

Pada masa sama, sebahagian besar responden mengakui sanggup berbelanja lebih bagi mengekalkan hubungan, walaupun perkara itu perlu disesuaikan dengan kemampuan kewangan masing-masing.

Namun, kesanggupan mengeluarkan wang tidak seharusnya menjadi ukuran utama dalam menilai komitmen seseorang terhadap pasangan.

Hubungan yang sihat juga memerlukan persefahaman dalam soal kewangan, termasuk kesediaan berbincang tentang pembahagian perbelanjaan dan memilih aktiviti yang dipersetujui bersama.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini