Nashkay lebarkan sayap ke bidang muzik menerusi Rela Lepaskan - Utusan Malaysia

Nashkay lebarkan sayap ke bidang muzik menerusi Rela Lepaskan

Nashkay
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pempengaruh, Nashkay tidak melepaskan peluang untuk meneroka bidang muzik apabila tampil dengan single terbaharu berjudul ‘Rela Lepaskan’, sekali gus mengembangkan bakatnya ke cabang seni berkenaan.

Mengangkat tema perpisahan, penerimaan dan kekuatan untuk meneruskan kehidupan, lagu berkenaan mengetengahkan mesej bahawa melepaskan seseorang atau sesuatu bukan bermakna melupakan, sebaliknya merupakan sebahagian daripada proses menerima kenyataan dan melangkah ke hadapan.

Nashkay berkata, keistimewaan mesej yang terkandung dalam lagu berkenaan menjadi antara faktor yang mendorongnya untuk terlibat dalam projek itu, memandangkan temanya dekat dengan realiti kehidupan setiap individu.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Ketika pertama kali mendengar lagu ini, saya merasakan mesejnya cukup dekat dengan kehidupan. Setiap orang pasti melalui pelbagai perkara yang mengajar kita tentang penerimaan, kekuatan dan bagaimana untuk terus melangkah ke hadapan.

“Sebab itu saya terbuka untuk menerima lagu ini. Bagi saya, muzik merupakan satu medium untuk menyampaikan perasaan yang mungkin sukar diungkapkan dengan kata-kata,” ujarnya.

Menariknya, mesej yang diketengahkan menerusi Rela Lepaskan bukan hanya berkisar mengenai hubungan percintaan, malah mempunyai tafsiran lebih luas yang boleh dikaitkan dengan pelbagai pengalaman hidup pendengar.

Situasi seperti perubahan, kehilangan dan perkara yang berlaku di luar jangkaan menuntut seseorang untuk belajar menerima kenyataan sebelum mampu melangkah ke hadapan.

Dalam pada itu, penglibatan Nashkay dalam bidang muzik turut membuktikan bahawa platform digital bukan sekadar ruang untuk membina pengaruh, sebaliknya berpotensi menjadi landasan untuk meneroka peluang dan mengembangkan kerjaya dalam bidang lain.

“Buat masa sekarang, fokus utama saya masih pada dunia digital dan membina jenama Nashkay dan saya melihat muzik sebagai satu lagi peluang untuk meneroka kreativiti serta menimba pengalaman baharu.

“Dalam masa sama, saya mahu terus mengembangkan apa yang sudah dibina di media sosial, termasuk membuka lebih banyak peluang dalam bidang perniagaan pada masa akan datang,” katanya lagi.

Dilancarkan pada Ogos 2026, lagu nyanyian Nashkay bersama Aseng AXA Band itu merupakan hasil ciptaan komposer dan penulis lirik, Faez Jantan, manakala susunan muzik dihasilkan oleh Afiq Bruno.

Single Rela Lepaskan kini boleh didengarkan menerusi pelbagai platform penstriman digital, manakala muzik videonya boleh ditonton menerusi saluran YouTube Awal Muzik Entertainment.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini