Jerebu jejas daya ingatan, tumpuan?

Jerebu jejas daya ingatan, tumpuan?

PENCEMARAN udara perlu dikawal bagi melindungi kesihatan otak dan kesejahteraan masyarakat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

APABILA jerebu melanda negara, masyarakat lazimnya bimbang tentang masalah pernafasan seperti batuk, sesak nafas, pedih mata dan serangan asma. Namun, pencemaran udara juga berpotensi menjejaskan kesihatan otak, termasuk daya ingatan, tumpuan, pembelajaran dan emosi.

Walaupun keadaan cuaca hari ini semakin baik, namun masalah jerebu berlaku setiap tahun dan pastinya akan berulang lagi pada tahun hadapan.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menjelaskan pencemaran udara bukan sahaja meningkatkan risiko penyakit pernafasan dan kardiovaskular, malah turut dikaitkan dengan gangguan fungsi kognitif, strok serta demensia. Oleh itu, jerebu perlu dilihat sebagai isu kesihatan menyeluruh, bukan sekadar masalah paru-paru.

Memuatkan artikel berkaitan…

Jerebu mengandungi pelbagai bahan pencemar daripada pembakaran terbuka, kebakaran hutan, pelepasan kenderaan dan aktiviti perindustrian. Antara bahan yang mendapat perhatian penyelidik ialah zarah halus particulate matter 2.5 (PM2.5).

Zarah ini berdiameter 2.5 mikrometer atau lebih kecil, kira-kira 30 kali lebih halus daripada sehelai rambut manusia. Saiznya membolehkan zarah tersebut memasuki bahagian terdalam paru-paru, manakala sesetengah komponennya berpotensi memasuki aliran darah.

Pendedahan kepada pencemaran boleh mencetuskan tekanan oksidatif dan keradangan. Keadaan ini berpotensi merosakkan sel serta mengganggu fungsi neuron yang bertanggungjawab menghantar maklumat. 

Penyelidik turut mengkaji kemungkinan pencemaran menjejaskan penghalang darah-otak, iaitu sistem perlindungan yang mengawal pergerakan bahan daripada darah ke tisu otak. Bagaimanapun, mekanisme tersebut masih memerlukan kajian lanjut.

Fungsi kognitif merangkumi keupayaan mengingat, memberikan perhatian, membuat keputusan dan mempelajari perkara baharu. Satu kajian pada 2012 yang melibatkan lebih 19,000 wanita warga emas di Amerika Syarikat (AS) mendapati pendedahan jangka panjang kepada PM2.5 berkait dengan kemerosotan kognitif yang lebih cepat.

Kanak-kanak juga memerlukan perlindungan kerana otak mereka masih berkembang. Kajian sistematik dan meta-analisis dalam jurnal Environmental Health pada 2024, melibatkan 4,860 kanak-kanak daripada enam kajian, mendapati peningkatan kepekatan PM2.5 mempunyai kaitan dengan penurunan skor kecerdasan intelek (IQ).

Dapatan ini menunjukkan kepentingan mengurangkan pendedahan sejak awal kehidupan. Namun, masyarakat tidak seharusnya menganggap beberapa hari berjerebu akan menyebabkan kehilangan ingatan atau penurunan kecerdasan. Kebanyakan penyelidikan meneliti kesan pendedahan berulang atau berpanjangan.

Penyelidikan turut mengaitkan pencemaran udara dengan peningkatan risiko kemurungan dan keresahan. Kajian sistematik dan meta-analisis dalam jurnal Environmental Research pada 2026 yang merangkumi 81 kajian melaporkan perkaitan tersebut. Walau bagaimanapun, kesihatan mental turut dipengaruhi tekanan hidup, keadaan sosial dan kesihatan individu. Pencemaran udara bukanlah satu-satunya punca gangguan berkenaan.

Selain itu, pencemaran boleh mengganggu fungsi salur darah dan meningkatkan risiko strok. Pendedahan jangka panjang turut dikaitkan dengan kemerosotan kognitif serta demensia. Namun, hubungan ini kompleks dan dipengaruhi faktor seperti umur, genetik, penyakit kronik serta gaya hidup.

Kanak-kanak, warga emas, wanita hamil dan individu yang mempunyai penyakit kronik perlu lebih berhati-hati ketika jerebu. Masyarakat disaran memantau Indeks Pencemaran Udara (IPU) melalui saluran rasmi Jabatan Alam Sekitar serta mengehadkan aktiviti berat di luar bangunan apabila kualiti udara merosot.

Pelitup pernafasan N95 yang dipakai dengan betul boleh membantu mengurangkan penyedutan zarah halus. Penapis udara yang sesuai juga boleh mengurangkan pendedahan di dalam bangunan. Pada masa sama, pemakanan seimbang, tidur mencukupi dan kawalan penyakit kronik membantu mengekalkan kesihatan otak.

Bukti saintifik menunjukkan pencemaran udara berpotensi menjejaskan kesihatan otak, khususnya apabila pendedahan berlaku dalam tempoh panjang. Walaupun kajian lanjut diperlukan, usaha memantau kualiti udara, mengawal pembakaran terbuka dan mengurangkan pelepasan bahan pencemar perlu diperkukuh.

Kesihatan otak bukan sahaja bergantung pada gaya hidup, malah turut memerlukan persekitaran yang bersih dan selamat. –UTUSAN

 

DR. MOHAMAD HALIM MOHAMAD SHARIFF

Pensyarah kanan/Neurosaintis,

Fakulti Sains Kesihatan,

Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Pulau Pinang

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini