Akta baharu lindungi kebebasan ahli akademik

Akta baharu lindungi kebebasan ahli akademik

ADAM ADLI ABD. HALIM- JABATAN PENERANGAN MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kebebasan ahli akademik bakal dilindungi menerusi satu status khusus di bawah Akta Pendidikan Tinggi Tunggal yang akan menggantikan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abd. Halim berkata, peruntukan itu turut mengiktiraf peranan ahli akademik yang melangkaui hubungan asas antara majikan dengan pekerja, selain memberikan autonomi lebih luas kepada institusi pendidikan tinggi.

Katanya, autonomi itu merangkumi aspek tadbir urus, pengurusan kakitangan, penawaran kursus dan program serta kerjasama strategik universiti melalui mekanisme baharu.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Bolehkah ia dirangkum di bawah Akta Pendidikan Tinggi Tunggal, ini kita teliti di mana permasalahannya?

“Adakah kita boleh wujudkan sebarang majlis atau sebarang panel bebas yang boleh meneliti isu berkaitan keputusan dan semakan terhadap operasi serta perjalanan institusi autonomi universiti, perjalanan akademik, elaun khusus dan sebagainya?

“Ini antara perkara yang akan turut kita jelaskan pada masa akan datang pada sesi taklimat berkaitan akta ini. Kita sedang meneliti dan yakin pandangan yang diperoleh akan membentuk sebuah akta baharu yang bakal meninggalkan satu legasi yang lebih baik buat sektor pendidikan negara,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Dr. Abd. Ghani Ahmad (PN-Jerlun) mengenai kebebasan universiti membuat keputusan tanpa terikat dengan menteri, perlindungan pensyarah daripada tekanan pentadbiran serta mekanisme semak dan imbang terhadap pengurusan universiti.

Dalam pada itu, Adam Adli berkata, Akta Badan-Badan Berkanun (Tatatertib dan Surcaj) 2000 (Akta 605) turut termasuk dalam tujuh akta yang sedang dikaji untuk diselaraskan di bawah perundangan baharu bagi memenuhi standard kebebasan akademik.

Menjawab soalan asal Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (BN-Bera), beliau berkata, pemansuhan AUKU perlu dilaksanakan secara terancang dan berfasa bagi mengelakkan kelompangan perundangan yang boleh menjejaskan kesinambungan tadbir urus serta operasi universiti awam.

Katanya, kementerian sudah mengambil langkah awal berkuat kuasa 27 Ogos lalu dengan menghentikan serta-merta semua prosiding tatatertib berkaitan kebebasan bersuara, menyatakan pandangan, kritikan awam dan perhimpunan aman di universiti awam.

Selain itu, kementerian turut meneliti pindaan bersasar terhadap AUKU khususnya Seksyen 15 hingga Seksyen 16B bagi memperluas ruang kebebasan mahasiswa untuk bersuara, berhimpun dan berpersatuan.

“Langkah awal ini adalah komitmen kerajaan dalam memperluas kebebasan mahasiswa dengan segera, selari dengan usaha pembaharuan menyeluruh landskap pendidikan tinggi negara,” katanya.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini