IPOH: Sebanyak 35 kes ketidakpatuhan direkodkan di seluruh negeri sepanjang pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali tahun lalu.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, kesemua kes itu melibatkan kegagalan peniaga mempamerkan tanda harga khas berwarna merah jambu bagi barangan yang dikawal harga di bawah skim tersebut
Katanya, kesemua kes itu telah diambil tindakan dan dikenakan kompauan.
“Kita harap tahun ini semua (peruncit dan pemborong) dapat mematuhi peraturan di bawah SHMMP.
“Kita bukan mahu mengambil tindakan terhadap mereka tetapi mahu memastikan pihak yang terlibat mengikut peraturan yang ditetapkan,” katanya dalam sidang akhbar selepas sesi walkabout SHMMP Deepavali 2026 dan Program Patuh di Pasar Awam Tanjung Rambutan, di sini hari ini.
Sementara itu, mengulas mengenai tahap pematuhan peniaga di pasar berkenaan, Kamalludin berkata, pihaknya berpuas hati dengan aspek kebersihan dan pematuhan harga hasil pemeriksaan yang dijalankan.
Katanya, pemeriksaan itu turut membabitkan kerjasama beberapa agensi termasuk Jabatan Kesihatan, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi memastikan peniaga mematuhi semua peraturan ditetapkan.
“Antara perkara yang diperiksa termasuk dokumen perniagaan, lesen PBT dan paparan tanda harga yang jelas dan teratur.
“Kita juga memastikan alat timbang dan sukat yang digunakan peniaga telah ditentusahkan bagi menjamin ketepatan ukuran sekali gus melindungi kepentingan pengguna,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, seramai 193 pegawai penguat kuasa dan 75 pegawai pemantau harga akan digerakkan bagi melaksanakan pemeriksaan dan pemantauan berterusan sepanjang tempoh skim berkenaan.
Katanya, pemantauan akan memberi tumpuan di lokasi strategik termasuk pasar awam, pasar tani dan pusat membeli-belah yang menjual barangan keperluan perayaan.
“Langkah itu bagi memastikan penguatkuasaan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan dan tindakan segera diambil terhadap aduan pengguna,” katanya. – UTUSAN











