MELAKA: Pembinaan dua masjid baharu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas termasuk sebuah yang berkapasiti sekurang-kurangnya 1,500 jemaah di Pematang Pasir, kini dalam peringkat permohonan kelulusan dan peruntukan kerajaan negeri.
Calon Barisan Nasional (BN) kerusi DUN Telok Mas, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman berkata, urusan tanah bagi pembinaan Masjid DUN Telok Mas seluas tiga ekar sudah diselesaikan selepas dua ekar tanah diwakafkan oleh individu manakala selebihnya merupakan tanah kerajaan.
“Di DUN Telok Mas terdapat tujuh masjid dan ada antaranya sudah berusia 90 tahun. Dalam tempoh lima tahun ini, saya sudah menyelesaikan urusan tapak Masjid DUN Telok Mas seluas tiga ekar yang mampu menampung kira-kira 1,500 jemaah pada satu-satu masa.
“Dua ekar tanah diwakafkan individu, manakala satu ekar lagi tanah kerajaan. Kedua-duanya dicantumkan dan diwartakan sebagai tapak Masjid DUN Telok Mas. Statusnya kini dalam proses permohonan kelulusan.
“Urusan tanah sudah selesai dan saya berazam memastikan dua masjid baharu itu dapat direalisasikan dalam tempoh lima tahun akan datang,” katanya ketika ditemui selepas bersarapan bersama penduduk di Kampung Alai di sini hari ini.
Abdul Razak berkata, Masjid DUN Telok Mas dirancang bukan sekadar sebagai tempat ibadah, malah bakal berfungsi sebagai pusat sehenti bagi pelbagai aktiviti masyarakat setempat.
Katanya, kemudahan itu akan dilengkapi dewan untuk kegunaan masyarakat termasuk majlis perkahwinan, selain menyediakan ruang riadah dan aktiviti keagamaan.
“Masjid itu akan menjadi pusat sehenti dengan adanya dewan untuk kegunaan masyarakat, termasuk majlis perkahwinan, selain kemudahan riadah dan pusat aktiviti Islam. Itu cita-cita saya dan memang sudah dalam perancangan.
“Jika pembangunan masjid itu dapat direalisasikan, baki tanah berkenaan juga mungkin boleh dimanfaatkan untuk pembinaan sebuah sekolah agama,” katanya.
Sementara itu, mengenai rancangan menggantikan Masjid Al-Khairiah Kampung Telok Mas, Abdul Razak berkata, lokasi baharu seluas tiga ekar sudah dikenal pasti dan permohonan kelulusan sedang diusahakan.
Beliau berkata, masjid sedia ada yang telah diwartakan sebagai masjid warisan itu berdepan kekangan ruang sehingga tidak memungkinkan kerja pembesaran dilakukan.
“Masjid itu sudah lama dan diwartakan sebagai masjid warisan. Kawasan tanahnya terhad serta tidak membolehkan pembesaran dilakukan, manakala kedudukannya di tepi jalan turut menimbulkan isu keselamatan.
“Atas dasar warisan, kita perlu memelihara masjid itu walaupun sudah mengenal pasti lokasi baharu seluas tiga ekar untuk pembinaannya. Permohonan sudah dibuat lebih awal dan kini kita menunggu kelulusan peruntukan daripada kerajaan negeri,” katanya. – UTUSAN











