KUALA LUMPUR: Seramai 1,832 Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) masih belum disahkan dalam perkhidmatan berikutan belum memenuhi satu atau lebih syarat ditetapkan sehingga 30 September lalu.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, faktor utama kelewatan berkenaan membabitkan seramai 1,799 guru yang tidak lulus peperiksaan ditetapkan khususnya elemen kefahaman dalam penilaian Program Transformasi Minda (PTM).
Menurut beliau, punca lain yang turut menyumbang kepada masalah berkenaan termasuk isu pelanjutan tempoh percubaan.
“Tiga PPP pula dilanjutkan tempoh percubaan dengan denda, manakala 29 lagi dilanjutkan tempoh percubaan tanpa denda, manakala seorang PPP berada dalam keadaan tempoh percubaan dibekukan.
“Sehingga 30 September 2026, seramai 7,723 orang Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) dalam proses mendapatkan pengesahan dalam perkhidmatan, manakala 1,832 orang PPP masih belum memenuhi satu atau lebih syarat pengesahan yang ditetapkan,” katanya dalam jawapan bertulis disiarkan di laman rasmi Parlimen.
Beliau menjawab soalan Datuk Adnan Abu Hassan (BN-Kuala Pilah) mengenai jumlah guru yang belum mendapat pengesahan dalam perkhidmatan mengikut negeri dan tempoh perkhidmatan serta faktor kelewatan proses berkenaan.
Fadhlina berkata, pengesahan dalam perkhidmatan merupakan proses memperakukan seseorang penjawat awam telah memenuhi semua syarat di bawah skim perkhidmatannya atau syarat lain yang ditentukan sebelum disahkan sebagai anggota tetap dalam perkhidmatan awam.
Katanya, antara syarat yang perlu dipenuhi PPP ialah menamatkan tempoh percubaan ditetapkan antara satu hingga tiga tahun serta hadir dengan jaya Kursus Induksi (Modul Umum) atau PTM.
“Selain itu, PPP perlu mendapat perakuan Ketua Jabatan dan memenuhi syarat lain yang diperuntukkan dari semasa ke semasa jika ada.
“KPM bekerjasama rapat dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) bagi memastikan proses pelantikan, pengesahan dan penempatan PPP dilaksanakan secara sistematik, teratur serta telus mengikut peraturan berkuat kuasa,” katanya.
Tambah beliau, kementerian juga komited memastikan proses pelantikan tetap dan penempatan PPP Contract of Service dilaksanakan mengikut peraturan yang ditetapkan.
“KPM akan terus memperkukuh kerjasama dengan SPP dan semua pihak berkepentingan bagi mempercepat penyelesaian kes-kes yang masih tertangguh, selain memastikan kebajikan guru terpelihara dan keperluan pendidikan murid di seluruh negara terus diberi keutamaan,” katanya. – UTUSAN











