Pesara guru rugi RM521,787 angkara pelaburan tidak wujud - Utusan Malaysia

Pesara guru rugi RM521,787 angkara pelaburan tidak wujud

terkini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang pesara guru berputih mata setelah mengalami kerugian RM521,787 akibat terpedaya dengan pelaburan tidak wujud yang menjanjikan pulangan keuntungan sehingga 50 peratus.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Azrul Hisham Mohd. Shaffei berkata, mangsa berusia 67 tahun itu tertarik dengan iklan pelaburan di Facebook pada 16 September lalu.

Beliau berkata, mangsa kemudian dimaklumkan bahawa dia perlu membuat pindahan wang ke akaun bank diberikan sebelum keuntungan dimasukkan terus ke akaun miliknya.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Tertarik dengan tawaran itu, mangsa melakukan 16 transaksi pindahan wang secara dalam talian membabitkan enam akaun bank berbeza antara 17 September hingga 29 Oktober lalu bernilai keseluruhan RM521,787. Wang berkenaan merupakan simpanan peribadi mangsa.

“Selepas semua bayaran dibuat, mangsa masih diminta membuat bayaran tambahan sebelum menyedari dirinya berkemungkinan menjadi mangsa penipuan,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Tambah Azrul Hisham, mangsa kemudian tampil membuat laporan polis untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 4(1) Akta Jenayah Komputer 1997.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini