PETALING JAYA: Selepas hampir sembilan tahun menanggung kecaman susulan kontroversi yang pernah mencetuskan perhatian umum, pelakon Sharifah Haneesya Hanee Sayed Sahlan, 26, mengambil pendirian untuk tidak lagi mengulangi permohonan maaf atas kesilapan lalu.
Haneesya menerusi hantaran di Threads mengakui sebelum ini tidak pernah keberatan untuk memohon maaf berulang kali, malah sanggup tampil dalam beberapa podcast bagi menjelaskan penyesalan terhadap kesilapan yang dilakukan.
Menurut pelakon filem Malam Terlarang itu, dia turut menerima mesej peribadi daripada individu yang mengakui percaya akan keikhlasan penyesalannya selepas menonton penampilannya dalam podcast, sekali gus memaafkan kesilapan berkenaan.
Bagaimanapun, dia kini menyedari tindakan tersebut seolah-olah membuka ruang kepada pihak lain untuk terus mengambil kesempatan terhadap kontroversi yang pernah dilaluinya.
“Selepas melihat isu yang sedang berlaku, saya baru sedar betapa bodohnya saya kerana selepas bertahun-tahun, saya masih membiarkan orang mengambil kesempatan terhadap situasi saya.
“Saya baru sedar bahawa saya tidak perlu meminta maaf berulang kali. Sekali sudah cukup. Apabila difikirkan semula, apa salah saya terhadap kalian semua?” katanya.
Tambahnya, kesilapan berkenaan merupakan urusan peribadi yang perlu dipertanggungjawabkan olehnya sendiri dan tidak membabitkan atau mendatangkan kemudaratan kepada orang lain.
Malah, Haneesya menegaskan dia tidak pernah mengganggu, menghina atau melakukan sesuatu yang menjejaskan kehidupan individu lain sehingga wajar terus dihukum oleh masyarakat.
“Dosa minum itu saya yang tanggung. Saya yang akan menjawab dengan Tuhan nanti.
“Gelaran saya yang ditarik balik, malah wang hadiah RM10,000 pun saya yang kehilangan. Tetapi mengapa saya perlu meminta maaf kepada semua orang?
“Saya tidak mengganggu sesiapa atau menghina sesiapa. Kesilapan saya tidak melibatkan orang lain. Saya tidak melakukan kemudaratan kepada sesiapa.
“Jadi, mengapa saya perlu dihukum seolah-olah saya merampas suami orang, membunuh seseorang atau mensabotaj kerjaya orang lain? Tiada lagi permohonan maaf daripada saya selepas ini,” katanya.
Terdahulu, Haneesya pernah mencetuskan kontroversi pada 2018 selepas video memaparkan dirinya bersama beberapa rakan berseronok di sebuah kelab malam tular di media sosial.
Insiden itu mengundang kecaman ramai sehingga membawa kepada penarikan gelaran Juara Dewi Remaja 2018/2019 yang dimenanginya, selain pembatalan beberapa tawaran lakonan.











