BAITULMUQADDIS: Tentera Israel memanipulasi fakta berhubung perang di Gaza dan Tebing Barat yang diduduki. Ia didedahkan oleh bekas jurucakap unit tentera itu yang mendedahkan peranannya secara langsung dalam memilih dan mengubah maklumat yang disampaikan kepada media.
Ayelet Kroizer berkata, rakyat Palestin yang tidak bersalah sering dilabel sebagai ‘pengganas’. Katanya, kenyataan rasmi sengaja disesuaikan untuk meraih sokongan rakyat Israel dan mendapatkan legitimasi antarabangsa terhadap perang yang disifatkannya sebagai pembunuhan beramai-ramai.
Kroizer mendedahkan perkara itu menerusi kenyataan terbuka di platform X ketika mengumumkan pelantikannya sebagai jurucakap Breaking the Silence, sebuah pertubuhan Israel yang mengumpulkan dan mendokumentasikan kesaksian bekas anggota tentera mengenai salah laku ketenteraan di wilayah Palestin yang diduduki.
“Sepanjang perkhidmatan, saya memanipulasi maklumat yang disampaikan kepada media.
“Saya melihat bagaimana perkataan ‘pengganas’ turut digunakan terhadap rakyat Palestin yang tidak bersalah dan bagaimana kenyataan disesuaikan mengikut kumpulan sasaran serta objektif yang ingin dicapai,” tulisnya.
Kroizer berkata, pengalamannya dalam perkhidmatan itu bukan sahaja mendedahkannya kepada keadaan sebenar di lapangan, malah bagaimana pihak tentera memilih untuk menggambarkan situasi berkenaan kepada umum.
Beliau menuduh unit jurucakap tentera mengendalikan fakta seperti sebuah firma perhubungan awam, bukannya institusi awam.
Katanya, ketika berkomunikasi dengan masyarakat Israel, matlamat unit itu adalah untuk meningkatkan keyakinan rakyat terhadap angkatan tentera, manakala hak orang ramai untuk mengetahui kebenaran sekurang-kurangnya menjadi perkara kedua.
Sementara itu, kenyataan yang ditujukan kepada masyarakat antarabangsa pula bertujuan membentuk gambaran bagi mendapatkan legitimasi terhadap tindakan tentera.
Beliau turut mendedahkan bagaimana pengumuman mengenai jumlah korban besar-besaran dalam serangan sering disertakan dengan kenyataan penafian standard.
“Saya belajar bagaimana melaporkan puluhan kematian dalam satu serangan dan secara automatik menambah bahawa kami kesal atas sebarang kecederaan terhadap individu yang tidak terlibat.
“Itulah rutin sepanjang perkhidmatan saya.
“Saya tidak pernah pandai berdiam diri apabila berdepan ketidakadilan, tetapi di sini. Saya diminta melakukan kerja perhubungan awam untuk perkara itu,” katanya.
Kroizer yang dibesarkan dalam komuniti Yahudi ultra-Ortodoks menarik balik pengecualiannya daripada perkhidmatan ketenteraan tiga tahun lalu untuk menyertai tentera ketika perang bermula, kerana percaya beliau sedang mempertahankan negaranya.
Beliau turut menggesa bekas anggota tentera lain supaya tampil mendedahkan pengalaman masing-masing.
“Jika anda berkhidmat sepanjang perang ini, jangan berdiam diri juga,” tulisnya.
Sejak Oktober 2023, perang Israel di Gaza telah mengorbankan lebih 74,000 rakyat Palestin, mencederakan lebih 175,000 yang lain selain memusnahkan kira-kira 90 peratus infrastruktur awam di wilayah itu.











