KOTA BHARU: Sebanyak 609 lokasi dikenal pasti sebagai kawasan titik panas banjir di negeri ini melibatkan 10 jajahan iaitu Kota Bharu, Pasir Mas, Tumpat, Kuala Krai, Tanah Merah, Machang, Pasir Puteh, Bachok, Jeli dan Gua Musang.
Ketua Cawangan Pengurusan Sekretariat Angkatan Pertahanan Awam (APM) Negeri Kelantan, Kapten (PA) Mohd. Ammar Ismail berkata, susulan itu seramai 1,091 pegawai dan anggota berada dalam keadaan bersiap sedia bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) kali ini.
Katanya, walaupun terdapat jangkaan fenomena Super El Nino yang tidak membawa hujan lebat, risiko bencana tidak boleh dipandang ringan kerana keadaan cuaca boleh berubah dan hujan lebat setempat masih boleh berlaku.
“Kesiapsiagaan APM bukan sahaja tertumpu kepada banjir sungai malah merangkumi banjir darat, tanah runtuh, pokok tumbang dan lain-lain insiden yang boleh mengancam keselamatan penduduk,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mohd. Ammar berkata, latihan persediaan MTL turut diadakan bagi meningkatkan kemahiran anggota dalam operasi menyelamat dan pengurusan bencana.
Katanya, APM Kelantan menyediakan 72 bot selain puluhan kenderaan darat, ambulans dan pelbagai aset sokongan bagi menghadapi kemungkinan banjir besar.
“Keutamaan diberikan kepada kesiapsiagaan anggota, aset penyelamatan dan logistik bagi memastikan operasi dapat dilaksanakan dengan cepat, teratur dan berkesan,” ujarnya.
Beliau berkata, APM turut mempunyai Pasukan Respons Bencana Sokongan (Paras) yang diselaraskan Ibu Pejabat APM bagi membantu operasi di negeri yang terjejas akibat bencana.
Katanya, pasukan itu membabitkan anggota sukarelawan dan pegawai bersekutu bagi memperkukuh keupayaan operasi khususnya ketika berlaku bencana yang memerlukan penambahan tenaga manusia.-UTUSAN.










