Anwar puji komitmen Steven Sim perjuang nasib peniaga kecil

Anwar puji komitmen Steven Sim perjuang nasib peniaga kecil

Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah), Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Steven Sim Chee Keong (tiga dari kiri) dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari (tiga dari kanan) ketika menyempurnakan gimik perasmian penutupan pada Majlis Perasmian Penutupan Karnival Hari Penjaja dan Peniaga Kecil (HPPK) Peringkat Kebangsaan 2026 di Stadium Kajang Ahad lalu. – UTUSAN/ ISKANDAR ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perdana Menteri menyifatkan usaha dan komitmen berterusan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) memperjuangkan nasib penjaja serta peniaga kecil sebagai sebahagian langkah gerakan memacu ekonomi domestik.

Justeru Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap, pendapatan penjaja dan peniaga kecil dinilai berdasarkan perbandingan purata pendapatan mereka tiga tahun lalu dengan tahun ini, untuk mengukur keberkesanan bantuan kerajaan sekaligu seningkatkan taraf hidup golongan berkenaan.

Beliau dalam masa yang sama turut meminta Steven Sim untuk terus bekerjasama dengan persatuan penjaja dan peniaga kecil bagi mendapatkan maklumat mengenai purata peningkatan pendapatan golongan berkenaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Dia bukan kerja kerana saya. Kerana dia rasa tanggungjawab dia. Sebab itu penilaian penting bagi mengenal pasti sejauh mana bantuan dan peruntukan yang disalurkan kerajaan berjaya meningkatkan pendapatan serta memperbaiki kehidupan penjaja dan peniaga kecil di seluruh negara.

“Kerjasama itu juga perlu mengenal pasti sebarang kelemahan dalam langkah bantuan sedia ada supaya penambahbaikan dapat dilakukan bagi memastikan sokongan kerajaan memberi kesan yang lebih ketara kepada golongan sasaran,

“Macam Steven Sim, dia kerja sungguh-sungguh. Tiap-tiap mesyuarat Jemaah Menteri, dia bawa masalah penjaja, peniaga kecil, usahawan demi kepentingan golongan berkenaan,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutupan Karnival Hari Penjaja dan Peniaga Kecil (HPPK) Peringkat Kebangsaan 2026 di Stadium Kajang, Ahad lalu.

Karnival yang berlangsung selama tiga hari dari 29 sehingga 30 November itu juga berjaya menarik seramai 58,967 pengunjung, sekali gus melepasi sasaran awal sebanyak 50,000 pengunjung, disamping merekodkan padanan perniagaan bernilai RM1.5 juta.

Nilai jualan sebanyak RM715,000 turut dicatakan dalam HPPK 2026 iaitu peningkatan sebanyak 43 peratus berbanding sasaran awal RM500,000.

Dalam pada itu, Anwar turut mengumumkan penyaluran peruntukan sebanyak RM1 juta kepada KUSKOP untuk diselaraskan bagi membantu persatuan penjaja dan peniaga kecil di seluruh negara.

Beliau berkata, peruntukan itu perlu disalurkan secara terancang bagi memastikan manfaatnya dapat dinikmati persatuan penjaja dan peniaga kecil secara menyeluruh.

Sementara itu, Steven Sim berkata, KUSKOP sudah menyalurkan dana RM10.7 bilion kepada hampir 300,000 usahawan bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun ini.

Menurutnya, jumlah itu sebahagian daripada RM15 bilion yang diperuntuk kepada kementeriannya pada tahun ini.

“RM10.7 bilion disalurkan melalui tujuh agensi pembiayaan di bawah KUSKOP dan daripada jumlah itu, RM3.14 bilion ialah pembiayaan mikrokredit.

“Dalam kalangan hampir 300,000 usahawan yang menerima pembiayaan kami, 200,000 atau dua pertiga penjaja, peniaga kecil, pekedai dan sebagainya,” katanya.

Steven Sim turut menetapkan supaya permohonan pembiayaan berjumlah kurang daripada RM20,000 diproses dan diluluskan dalam tempoh 24 jam bagi memudahkan penjaja serta peniaga kecil mendapatkan modal dengan segera.

Beliau berkata, langkah itu merupakan antara inisiatif kementerian dalam memperkukuh sokongan kepada golongan usahawan kecil, khususnya mereka yang memerlukan bantuan kewangan dalam keadaan mendesak.

Katanya, kelulusan pembiayaan dalam tempoh singkat itu penting bagi memastikan penjaja dan peniaga kecil tidak terus dibebani masalah kekurangan modal sehingga terpaksa mendapatkan pinjaman daripada sumber tidak sah.

“Sekiranya penjaja dan peniaga kecil memerlukan modal dengan segera, ini bermakna mereka sedang berdepan kesukaran dan tidak mampu menunggu sehingga beberapa hari.

“Jika mereka tidak boleh menunggu, ke mana lagi mereka boleh mendapatkan bantuan? Mereka mungkin terpaksa mendapatkan pinjaman daripada pemberi pinjaman wang tidak berlesen atau along.

“Bagi mengelakkan perkara ini berlaku, agensi di bawah kementerian diwajibkan memberikan maklum balas dalam tempoh 24 jam,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini