PUTRAJAYA: IOIPG Malaysia Real Estate Investment Trust (IOIPG REIT) memanfaatkan sinergi antara pusat beli-belah, hotel dan bangunan pejabat dalam satu ekosistem bersepadu di IOI Resort City sebagai strategi menjana pendapatan mampan, susulan penyenaraiannya di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada 25 November ini.
Ketua Pegawai Eksekutif IOIPG REIT Management Sdn. Bhd., Chris Chong berkata, lima daripada sembilan aset dalam portfolio amanah pelaburan hartanah (REIT) itu terletak di IOI Resort City, sekali gus membolehkan setiap aset saling menyokong dalam menarik pengunjung, penyewa dan pelanggan korporat.
Beliau berkata, pendekatan itu menjadi antara kelebihan IOIPG REIT berbanding REIT yang hanya bergantung kepada satu jenis aset, memandangkan pusat beli-belah, hotel dan bangunan pejabat dalam pembangunan berkenaan mempunyai hubungan komersial yang saling melengkapi.
“Pejabat kami mempunyai kadar penghunian melebihi 90 peratus dan ia mendapat sokongan daripada pusat beli-belah yang menyediakan kemudahan serta tempat letak kereta kepada penghuni pejabat.
“Hotel pula menyokong bangunan pejabat dengan menyediakan tempat untuk latihan dan acara, manakala hotel turut membawa masuk pelancong serta pengunjung yang boleh berbelanja di pusat beli-belah,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini, baru-baru ini.
Beliau berkata, portfolio sembilan aset IOIPG REIT mempunyai nilai keseluruhan RM7.66 bilion, merangkumi sebuah hartanah runcit, enam hartanah hotel dan dua hartanah pejabat termasuk IOI City Mall, Putrajaya Marriott Hotel, Le Méridien Putrajaya dan Puchong Financial Corporate Centre (PFCC) bagi Menara 1, 2, 4 dan 5.
Daripada jumlah itu, kira-kira 67 peratus nilai portfolio terdiri daripada IOI City Mall, manakala hotel menyumbang sekitar 20 peratus dan bakinya daripada aset pejabat.
Chris berkata, penyenaraian itu juga sebahagian daripada strategi kitar semula modal jangka panjang IOI Properties Group Berhad (IOIPG) bagi membuka nilai aset matang yang telah dibangunkan, sekali gus membolehkan kumpulan itu mengurangkan pinjaman dan membiayai pertumbuhan masa depan.
“Kumpulan itu berhasrat menyuntik lebih banyak aset matang ke dalam REIT dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang, tertakluk kepada keupayaan aset berkenaan menjana pulangan mampan kepada pemegang unit serta penilaian yang munasabah.
“Antara aset yang berpotensi dipertimbangkan termasuk IOI Mall Damansara, IOI Mall Puchong, IOI Mall Kulai dan Palm Garden Hotel, yang ketika ini bukan sebahagian daripada portfolio penyenaraian,” ujarnya.
Selain itu, beliau berkata, IOIPG sedang membangunkan IOI City Mall fasa tiga yang dijangka siap pada 2030 dan IOI Mall Rio di Bandar Puteri Puchong yang dijadualkan siap pada 2031.
“Dari segi pendapatan, IOIPG REIT menetapkan harga tawaran awam permulaan (IP0) pada 96 sen seunit dengan menjangkakan hasil agihan indikatif sebanyak 6.6 peratus,.
“Usaha mengekalkan pendapatan akan tertumpu kepada pengurusan campuran penyewa, strategi pembaharuan sewaan serta peningkatan kadar sewa dari semasa ke semasa.
“Kadar penghunian pusat beli-belah dalam portfolio ketika ini hampir 98 peratus, manakala aset pejabat mencatatkan kadar penghunian sekitar 90 peratus,” jelasnya.
Ketika ditanya mengenai risiko dalam pasaran, beliau mengakui ketegangan geopolitik di Asia Barat dan potensi kenaikan harga minyak antara risiko yang perlu diberi perhatian kerana boleh meningkatkan inflasi, kos pengangkutan dan harga import, sekali gus memberi tekanan kepada kuasa beli pengguna.
Jelasnya, kumpulan turut memberi tumpuan kepada kecekapan operasi menerusi inisiatif kelestarian, termasuk pemasangan panel solar di IOI City Mall yang menghasilkan penjimatan hampir RM4 juta setahun.
“Pemasangan panel solar turut dilaksanakan di IOI Mall Puchong dan IOI Mall Kulai, manakala IOI Mall Damansara dikenal pasti untuk pelaksanaan seterusnya.
“Bagi bangunan pejabat PFCC, pemasangan panel solar pula menjana penjimatan kurang RM500,000 setahun, selain penggunaan sistem pencahayaan berasaskan sensor bagi mengurangkan penggunaan elektrik,” jelasnya. – UTUSAN











