PETALING JAYA: IOI Properties Group Berhad (IOIPG) menerusi IOIPG Malaysia Real Estate Investment Trust (IOIPG REIT) menyasarkan penyenaraian di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada suku keempat 2026, dengan portfolio awal aset hartanah bernilai kira-kira RM7.66 bilion.
Ini susulan pemeteraian perjanjian pengunderaitan dengan enam institusi kewangan bagi menyokong tawaran awam permulaan (IPO) dana pelaburan hartanah berkenaan.
Dalam kenyataannya, IOIPG berkata, sebanyak 165 juta unit tawaran akan diunderait bagi tawaran awam dan tawaran terhad, tertakluk kepada mekanisme penarikan balik dan pengagihan semula.
Enam institusi kewangan terbabit ialah Maybank Investment Bank Berhad, AmInvestment Bank Berhad, CIMB Investment Bank Berhad, Hong Leong Investment Bank Berhad, RHB Investment Bank Berhad dan UOB Kay Hian (M) Sdn Bhd.
IPO itu membabitkan tawaran sehingga 2.2 bilion unit, terdiri daripada 715.61 juta unit tawaran runcit dan sehingga 1.48 bilion unit tawaran institusi.
Daripada tawaran runcit, sebanyak 550.61 juta unit diperuntukkan kepada pemegang saham IOIPG yang layak berdasarkan nisbah satu unit bagi setiap 10 saham biasa sedia ada, manakala 55 juta unit diperuntukkan kepada pengarah, kakitangan dan rakan niaga yang layak.
Sebanyak 110 juta unit lagi ditawarkan kepada orang awam Malaysia, termasuk 55 juta unit yang dikhaskan untuk pelabur Bumiputera.
Portfolio awal IOIPG REIT merangkumi sembilan aset di lokasi strategik di Selangor, pusat bandar Kuala Lumpur dan Pulau Pinang, dengan nilai kira-kira RM7.66 bilion setakat 31 Mei 2026.
Portfolio itu diterajui IOI City Mall, pusat beli-belah terbesar di Malaysia dengan keluasan ruang boleh sewa bersih melebihi 2.5 juta kaki persegi.
Ia turut merangkumi enam hotel di bawah rangkaian Marriott International dengan keseluruhan 1,920 bilik, selain dua hartanah pejabat, IOI City Towers dan PFCC Towers, yang mempunyai keluasan ruang boleh sewa bersih gabungan kira-kira 1.83 juta kaki persegi.
Ketua Pegawai Eksekutif IOIPG REIT Management Sdn. Bhd., Chris Chong berkata, pertumbuhan sektor pelancongan negara dijangka menyokong prestasi aset peruncitan dan perhotelan dalam portfolio berkenaan.
Katanya, permintaan domestik yang berdaya tahan serta peningkatan perbelanjaan pelancong turut memberikan sokongan kepada sektor peruncitan.
“Aset pejabat dana itu juga mempunyai prospek pertumbuhan, khususnya susulan permintaan terhadap ruang pejabat premium Gred A yang menawarkan kemudahan lebih baik, aksesibiliti, kesalinghubungan dan ciri kelestarian.
“IOI City Towers dan PFCC Towers terletak di koridor pertumbuhan utama Putrajaya dan Puchong, yang mencatatkan peningkatan kadar penghunian sejak 2022.
“Momentum pertumbuhan dalam segmen peruncitan dan pejabat memberikan keyakinan terhadap prospek IOIPG REIT untuk menjana pendapatan berulang yang stabil kepada pemegang unit,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Investment Bank, Michael Oh-Lau berkata, portfolio IOIPG REIT yang merangkumi aset peruncitan, perhotelan dan pejabat berkualiti tinggi menawarkan peluang kepada pelabur untuk memperoleh pendedahan kepada hartanah yang menjana pendapatan.
Ketua Pegawai Eksekutif AmInvestment Bank, Christopher Ng pula berkata, kepelbagaian portfolio dan asas aset yang kukuh berpotensi menyokong penciptaan nilai jangka panjang kepada pemegang unit.
Prospektus IOIPG REIT dijangka dilancarkan pada suku keempat 2026, menjelang cadangan penyenaraiannya di Pasaran Utama Bursa Malaysia. – UTUSAN











