KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini membatalkan saman pemula yang difailkan Toh Puan Na’imah Abdul Khalid dan dua anak lelakinya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Saman pemula itu difailkan bersama dua peguam terhadap Anwar dan kerajaan berhubung siasatan berkaitan dakwaan penglibatan mereka dalam cubaan menggulingkan kerajaan.
Selain Na’imah, plaintif dalam saman pemula itu ialah dua anaknya, Muhammed Amir Zainuddin dan Muhammed Amin Zainuddin serta dua peguam keluarga iaitu Amir Zharif Abdullah dan Muhammad Nizamuddin Abdul Hamid.
Keputusan itu dibuat Hakim Indra Nehru Savandiah selepas mendapati tiada bukti kukuh bagi membuktikan sebarang dakwaan berniat jahat (mala fide) terhadap siasatan polis yang sedang dijalankan ke atas kesemua plaintif.
“Dakwaan bahawa siasatan polis yang dijalankan dipengaruhi defendan pertama (Anwar) hanyalah satu andaian atau tanggapan semata-mata tanpa disokong sebarang fakta bagi membuktikan wujudnya niat jahat.
“Tiada sebarang kaitan yang menghubungkan kenyataan terbuka defendan pertama dengan siasatan bebas yang sedang dijalankan berasaskan laporan polis yang dibuat,” katanya.
Mahkamah juga tidak membuat sebarang perintah mengenai kos susulan permohonan bersama kedua-dua pihak.
Dalam prosiding itu, Na’imah diwakili peguam Abraham Au dan Datuk Dr. Gurdial Singh Nijar, manakala Anwar, Ketua Polis Negara serta kerajaan diwakili Peguam Kanan Persekutuan, Mohammad Sallehuddin Md. Ali dan Peguam Persekutuan, Mohd. Solihin Md. Zaki.
Pada 6 Mac lalu, isteri kepada bekas Menteri Kewangan, Allahyarham Tun Daim Zainuddin itu dan empat yang lain memfailkan saman pemula yang menamakan Anwar; Ketua Polis Negara (KPN), Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dan Kerajaan Malaysia.
Kesemua plaintif antara lain memohon perisytiharan bahawa siasatan yang dimulakan oleh Mohd Khalid dan kerajaan terhadap mereka di bawah Seksyen 124B Kanun Keseksaan berdasarkan laporan polis bertarikh 26 Februari lalu, adalah menyalahi undang-undang dan tidak berasas.
Selain itu, plaintif menyatakan ia melanggar Perkara 5 (kebebasan diri), Perkara 8 (kesamarataan di sisi undang-undang dan Perkara 10 (kebebasan bersuara, berhimpun dan berpersatuan) Perlembagaan Persekutuan.
Plaintif juga memohon perisytiharan bahawa tindakan KPN dan kerajaan dalam memula dan meneruskan siasatan terhadap mereka, melanggar kebebasan asasi yang dijamin di bawah perlembagaan. -UTUSAN











