KUALA LUMPUR: Sebanyak enam projek sakit di bawah kendalian Kementerian Kerja Raya (KKR) kini dalam proses tindakan penamatan kontrak selepas usaha pemulihan gagal meningkatkan prestasi pelaksanaannya.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, tindakan tegas itu membuktikan kerajaan tidak akan berkompromi terhadap kegagalan kontraktor melaksanakan tanggungjawab sekiranya segala obligasi kerajaan telah dipenuhi, namun usaha pemulihan masih tidak membuahkan hasil.
Katanya, projek dikategorikan sebagai sakit apabila mengalami kelewatan melebihi 60 hari atau 20 peratus berbanding jadual asal yang ditetapkan dalam kontrak mengikut mana-mana yang terdahulu.
“Projek berstatus ini akan dipantau secara serius oleh pegawai penguasa dan kementerian bagi memastikan kontraktor kembali berupaya melaksanakan projek mengikut tempoh yang ditetapkan.
“Sekiranya prestasi kontraktor masih tidak berubah, malah semakin merosot, tindakan penamatan kontrak akan dilaksanakan demi menjaga kepentingan kerajaan serta memastikan projek dapat disiapkan untuk manfaat rakyat,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Sh Mohmed Puzi Sh Ali (BN-Pekan) mengenai jumlah dan nilai projek yang dikategorikan sebagai projek sakit, termasuk tindakan kerajaan terhadap kontraktor terbabit.
Bagi mempercepat usaha pemulihan projek sakit, beliau berkata, KKR melaksanakan pemantauan rapi menerusi Jawatankuasa Project Solving Governance (PSG) bagi mengenal pasti isu serta menetapkan langkah pemulihan bersesuaian.
Katanya, jawatankuasa itu memastikan semua obligasi kerajaan dipenuhi sebelum sesuatu projek dirujuk kepada Jawatankuasa Contract Coordination Panel (CCP) bagi menangani isu seperti pelanjutan masa, arahan perubahan kerja dan perkara berkaitan.
“Setakat 31 Oktober lalu, sebanyak 38 daripada 880 projek dalam peringkat pembinaan di seluruh negara direkodkan sebagai projek sakit, membabitkan nilai semasa RM2.08 bilion.
“Jumlah itu mewakili 4.32 peratus daripada keseluruhan projek dalam pembinaan, meningkat sedikit berbanding 33 projek atau 3.77 peratus pada September lalu,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata, angka berkenaan masih lebih rendah berbanding kadar tertinggi yang direkodkan pada Julai tahun ini iaitu 55 projek atau 6.51 peratus.
“KKR akan terus mempergiat pemantauan dan melaksanakan langkah intervensi terhadap projek yang mengalami kelewatan termasuk menyediakan pelan pemulihan, memantau kemajuan fizikal secara berkala serta menyelaraskan penyelesaian isu pelaksanaan bersama pihak berkaitan,” katanya. -UTUSAN











