Ismail masih usaha dapatkan perkenan tarikh sidang DUN

Ismail masih usaha dapatkan perkenan tarikh sidang DUN

ISMAIL Lasim ditemui pemberita selepas Majlis Kick Off Pembangunan Sistem e-Tanah Negeri Sembilan di Seremban hari ini.--UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Tarikh persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan yang dijadualkan berlangsung pada 26 November ini masih belum mendapat perkenan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan.

Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim berkata, pihaknya masih dalam usaha mendapatkan perkenan baginda berhubung tarikh persidangan berkenaan dan yakin perkara itu dapat diselesaikan dalam masa terdekat.

“Insya-Allah, kalau Allah izinkan,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Kick-Off Pembangunan Sistem e-Tanah Negeri Sembilan di sini, hari ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Mengulas kemungkinan timbul masalah sekiranya tarikh persidangan itu tidak mendapat perkenan baginda, Ismail bagaimanapun enggan mengulas perkara itu.

Beliau turut mengelak daripada mengulas laporan bahawa kemelut pentadbiran kerajaan negeri yang berlarutan lebih dua bulan itu telah menemui jalan penyelesaian.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan kemelut membabitkan istana dan pentadbiran kerajaan negeri itu dijangka menemui penyelesaian menjelang penghujung minggu ini.

Sumber yang dekat dengan usaha berkenaan dilaporkan berkata, kedua-dua pihak berkaitan dikatakan telah mencapai persetujuan secara dasar untuk menamatkan kemelut berkenaan yang meresahkan rakyat negeri ini.

Ismail sebelum ini dilaporkan menafikan khabar angin bahawa beliau akan melepaskan jawatannya, sebaliknya menegaskan masih mendapat sokongan penuh daripada 24 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan negeri yang lain.

Beliau turut dilaporkan berkata, tumpuannya ketika ini adalah memastikan Belanjawan Negeri Sembilan 2027 dapat dibentangkan pada 27 November ini. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini