Anwar cadang taklimat tertutup MKN kepada semua Ahli Parlimen - Utusan Malaysia

Anwar cadang taklimat tertutup MKN kepada semua Ahli Parlimen

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim mencadangkan Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) memberikan taklimat khas secara tertutup kepada semua Ahli Parlimen dalam masa terdekat bagi menjelaskan perkembangan terkini berkaitan ancaman terhadap negara.

Perdana Menteri berkata, cadangan itu tertakluk kepada persetujuan kedua-dua pihak di Parlimen.

Menurut beliau, perkara tersebut penting berdasarkan maklumat yang diperoleh petang semalam serta daripada Menteri Dalam Negeri pagi tadi dan tidak boleh dipandang ringan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya boleh minta Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara untuk memberikan taklimat khas dan tertutup kepada semua Ahli Parlimen dalam tempoh satu dua hari ini kalau dipersetujui oleh kedua-dua pihak.

“Saya percaya perkara ini sangat penting kerana daripada maklumat yang diperoleh petang semalam dan juga pagi tadi daripada Menteri Dalam Negeri juga, hari ini jangan kita pandang ringan,” katanya ketika sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee (PN-Beluran) sama ada Malaysia menjadi sasaran berdasarkan maklumat risikan sedia ada serta sejauh mana ancaman berkenaan terhadap negara.

Anwar berkata, tidak semua maklumat berkaitan perkara itu boleh didedahkan.

Sehubungan itu, beliau memohon kerjasama Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang untuk memberikan ruang kepada MKN menyampaikan taklimat berkenaan.

“Saya pohon kerjasama semua Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang untuk memberikan ruang kepada MKN dalam tempoh satu dua hari untuk mendengar sendiri perkembangan mutakhir,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini