Polis terima lapan laporan insiden kempen PRN Melaka - Utusan Malaysia

Polis terima lapan laporan insiden kempen PRN Melaka

DZULKHAIRI MUKHTAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Sebanyak lapan laporan polis diterima berhubung beberapa insiden berkaitan kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16 dalam tempoh dua hari bermula 1 November lalu, termasuk kerosakan bendera parti, tindakan memusnahkan bahan kempen dan dakwaan pengagihan wang tunai.

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, hanya tujuh daripada laporan yang diterima telah dibuka kertas siasatan setakat ini.

Menurutnya, laporan yang diterima membabitkan dakwaan mencabut bendera parti, kenyataan pemimpin politik berkaitan isu pengampunan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak serta pengagihan sumbangan bakul makanan sempena Deepavali.

Memuatkan artikel berkaitan…

Beliau berkata, antara laporan diterima pada 1 November lalu membabitkan kejadian kerosakan dan kehilangan 22 helai bendera kempen di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Keroh.

“Laporan berkenaan dibuat di Balai Polis Ayer Keroh dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 serta Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

“Pada hari sama, polis turut menerima laporan di Alor Gajah berhubung kira-kira 150 batang bendera Parti Pakatan Harapan (PH) di kawasan DUN Rembia yang dipercayai mengalami kerosakan akibat dipatahkan,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelasnya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan, manakala satu lagi laporan berkaitan dirujuk kepada laporan asal untuk tindakan siasatan lanjut.

Sementara itu katanya, pada 2 November, polis menerima satu laporan di Masjid Tanah berhubung dakwaan bendera PH di kawasan DUN Ayer Limau dicabut pihak tidak dikenali.

“Kes itu turut disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan,” ujarnya.

Dzulkhairi menambah dalam perkembangan berasingan, satu laporan polis diterima di Malim berhubung rasa tidak puas hati terhadap kenyataan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkaitan tuntutan supaya minit pengampunan Najib didedahkan kepada umum.

Katanya, laporan berkenaan dibuat susulan kenyataan Anthony yang menyentuh isu pendedahan minit pengampunan bekas Perdana Menteri itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998.

Beliau berkata, polis turut menerima laporan di Jasin berhubung dakwaan pengagihan bakul makanan dan wang tunai dianggarkan RM50 sempena sambutan Deepavali di Kompleks Japerun Rim.

“Pengadu mendakwa melihat individu membawa keluar bakul makanan dan wang tunai dari premis berkenaan dengan kehadiran wakil calon Barisan Nasional (BN),” ujarnya.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 10 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 bagi menentukan sama ada terdapat sebarang pelanggaran undang-undang pilihan raya.

Selain itu katanya, satu lagi laporan diterima di Tanjung Minyak berhubung dakwaan bahan kempen Parti Bersama di kawasan DUN Paya Rumput dipatahkan, dikoyakkan, diturunkan, dibakar dan dimusnahkan.

Jelasnya, kejadian itu membabitkan beberapa bentuk kerosakan terhadap bahan kempen parti berkenaan dan kes masih dalam siasatan polis.

Dzulkhairi berkata, siasatan terhadap semua laporan berkenaan sedang giat dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Melaka bagi mengenal pasti individu yang terbabit.

Katanya, pihak polis tidak dapat memberikan maklumat lanjut buat masa ini memandangkan semua kes masih dalam siasatan.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya bertenang dan tidak mengambil tindakan sendiri sekiranya berdepan sebarang provokasi atau kejadian yang menyalahi undang-undang sepanjang tempoh kempen PRN Melaka.

Beliau berkata, mereka juga diminta bertindak mengikut lunas undang-undang serta mengelak daripada menyebarkan sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan ketenteraman awam atau mengganggu proses siasatan.

“Polis turut memberi jaminan perkembangan lanjut berhubung kes berkenaan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” ujarnya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini