KKM semak spesifikasi kontrak Doktor Udara

KKM semak spesifikasi kontrak Doktor Udara

DR. DZULKEFLY AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) sedang menyemak dan memperkukuh keperluan dan spesifikasi kontrak Perkhidmatan Doktor Udara (PDU) bagi memastikan pesawat yang digunakan memenuhi keperluan operasi dan aspek keselamatan petugas serta pesakit.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, helikopter yang digunakan bagi perkhidmatan berkenaan bukan aset milik KKM, sebaliknya disediakan menerusi kontrak dengan syarikat penyedia perkhidmatan penerbangan.

Justeru, katanya, penggantian helikopter lama tidak boleh dilaksanakan secara langsung oleh kementerian kerana aset berkenaan bukan milik KKM.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Penentuan kelayakan sesebuah pesawat untuk beroperasi termasuk aspek kelayakan penerbangan (airworthiness) tertakluk kepada peraturan, standard dan kelulusan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

“Justeru, KKM tidak membuat penentuan kelayakan pesawat berdasarkan faktor usia semata-mata,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan menerusi laman rasmi Parlimen.

Beliau menjawab soalan Datuk Dr. Suhaili Abdul Rahman (Bebas-Labuan) mengenai sebab helikopter Flying Doctor Service (FDS) berusia kira-kira 35 tahun masih dibenarkan beroperasi di Sarawak.

Suhaili turut meminta penjelasan mengenai spesifikasi usia dan keselamatan yang ditetapkan dalam kontrak serta sama ada KKM akan menggantikan helikopter lama bagi menjamin keselamatan petugas dan pesakit.

Mengulas lanjut, Dzulkefly berkata, keperluan dan spesifikasi perkhidmatan dalam kontrak ditetapkan berdasarkan keperluan operasi di lapangan, aspek keselamatan serta kesesuaian perkhidmatan.

Katanya, penetapan itu turut mengambil kira input daripada agensi dan pihak yang mempunyai kepakaran teknikal dalam bidang penerbangan.

“Semakan serta penambahbaikan spesifikasi kontrak PDU akan memastikan pesawat yang disediakan syarikat perkhidmatan bersesuaian dengan keadaan geografi kawasan operasi, selain menjamin keselamatan petugas dan pesakit,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini