PETALING JAYA: Seramai 4,500 pegawai perubatan kontrak ditawarkan pelantikan tetap oleh Kementerian Kesihatan (KKM) tahun ini.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, KKM juga kini memiliki autonomi penuh untuk mengurus dan mengagihkan sendiri perjawatan yang diluluskan.
Beliau berkata, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) juga telah menubuhkan Pasukan Petugas Pengurusan Perjawatan KKM pada April lalu untuk meneliti dan menyelesaikan sebarang isu dan cabaran dalam pengurusan perjawatan di KKM.
“Pihak JPA melalui kenyataan pada 9 Julai lalu secara rasminya telah memberikan mandat serta autonomi penuh kepada KKM untuk mengurus, menyusun dan mengagihkan sendiri perjawatan yang telah diluluskan.
“Ini akan mempercepat proses pengisian keperluan tenaga kerja kesihatan. Dengan langkah-langkah ini, insya-Allah masalah kekurangan doktor di fasiliti-fasiliti tertentu dapat dikurangkan secara berfasa,” katanya ketika sesi soal jawab dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Oscar Ling Chai Yew (PH-Sibu) mengenai langkah jangka panjang dan pendek bagi menangani isu kekurangan doktor di negara ini.
Dzulkefly berkata, pihak kementerian turut mewajibkan pegawai perubatan kontrak yang dilantik tetap untuk memilih sekurang-kurangnya satu penempatan di Sabah, Sarawak dan Labuan, menerusi penambahbaikan sistem ePlacement mulai pada 2025.
“Bagi menjaga kebajikan pegawai yang melaporkan diri di tempat baharu kerana mendapat jawatan tetap, mulai 22 Jun pegawai layak menerima tuntutan perpindahan seperti elaun makan, bayaran sewa hotel atau elaun lojing, tambang perjalanan, tambang pengangkutan barang, pemberian pindahan, belanja pelbagai, tertakluk peraturan Perbendaharaan yang berkuat kuasa.
“KKM juga telah memendekkan tempoh masa menawarkan penempatan program latihan siswazah perubatan kepada dua bulan berbanding lebih 10 bulan sebelum ini,” katanya.
Mengulas cadangan memperluaskan pengiktirafan universiti perubatan di China, Dzulkefly berkata, Majlis Perubatan Malaysia (MMC) kini membuka ruang kepada institusi luar negara untuk memohon pengiktirafan mengikut piawaian yang ditetapkan.
“Sehingga kini, lapan universiti dari China telah mengemukakan permohonan pengiktirafan, antaranya Zhejiang University School of Medicine, dan permohonan tersebut sedang melalui proses penilaian MMC,” katanya. – UTUSAN










