ROMPIN: Demi kasih dan tanggungjawab sebagai anak, Aisyah Ishak, 27, dari Felda Keratong 6 di sini, sanggup menolak peluang kerjaya sebagai guru semata-mata untuk menjaga ibunya yang terlantar akibat strok.
Siswazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan dari Universiti Malaysia Kelantan (UMK) itu pernah dipanggil menghadiri temuduga guru selepas melanjutkan pengajian Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah (DPLI) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Namun, remaja berkenaan memilih menutup pintu rezeki tersebut kerana mahu berbakti dan memberi sepenuh perhatian kepada wanita yang melahirkannya.
“Saya percaya rezeki boleh dicari tetapi kasih ibu tiada gantinya. Selagi hayat dikandung badan, saya mahu berada di sisi ibu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.
Aisyah berkata, ibunya, Basariah Husin, 64, memerlukan perhatian khusus selepas wanita itu mengalami strok ringan pada 2022 sehingga menyebabkan sebelah kakinya tidak lagi mampu menampung berat badan untuk berdiri.
Katanya, dia kini mengambil tugas sepenuhnya menjaga kebajikan ibunya selepas dua lagi adik beradiknya yang sebelum ini bergilir-gilir membantu, sudah pun bekerja.
“Bagi memudahkan urusan penjagaan itu, saya menggunakan beberapa peralatan khas termasuk kren pengangkat pesakit, katil beroda, kerusi roda, alat pengangkat pesakit serta tempat duduk khas orang kurang upaya (OKU) yang dipasang pada kenderaan Perodua Myvi.
“Kemudahan itu inisiatif arwah bapa yang mula memikirkan kaedah memudahkan urusan keluarga sejak 2021. Arwah ayah meninggal dunia pada 15 Ogos lalu,” katanya.
Menurutnya, semua peralatan tersebut dibeli secara berperingkat menerusi pembelian secara dalam talian dengan kos keseluruhan dianggarkan mencecah RM8,000. – UTUSAN











