Selepas hampir empat dekad mengabdikan diri dalam industri seni, Ratu Irama Tradisional, Noraniza Idris, tidak lagi mengejar populariti seperti dahulu, sebaliknya mahu memanfaatkan sisa perjalanan seninya untuk melunaskan impian yang masih belum tercapai.
Pada usia 58 tahun, penyanyi yang cukup sinonim dengan lagu Dikir Puteri dan Hati Kama itu menganggap peluang untuk terus menyanyi sebagai satu bonus sebelum tiba masanya dia melabuhkan tirai kerjaya seni.
Malah, di sebalik pujian peminat, Noraniza mengakui masih dibayangi kebimbangan untuk memenuhi harapan tinggi peminat, selain mahu memastikan kesihatan terus terpelihara.
Katanya, dia kini mempunyai dua impian utama yang mahu direalisasikan sebelum bersara, iaitu mengadakan persembahan khas sempena 40 tahun dalam industri dan menghasilkan sebuah album penuh.
“Sebenarnya, bila dah umur 58 tahun ini, kalau ikut suami, dia dah suruh saya berhenti menyanyi dan pergi umrah. Dia tak benarkan saya menyanyi lagi. Tetapi dia nampak ada cita-cita saya yang belum tercapai, jadi dia lepaskan. Ini adalah tempoh bonus yang diberikan kepada saya untuk buat sehabis baik sebelum bersara.
“Cita-cita saya sekurang-kurangnya nak buat showcase untuk 40 tahun dalam industri dan satu album penuh sebelum menutup tirai. Tak akanlah nak menyanyi sampai umur 60 tahun lebih dengan bertongkat, bukan? Jadi, saya ada tempoh masa yang singkat untuk selesaikan semua ini secara tenang,” katanya.
Mengulas mengenai sambutan positif yang diterimanya sejak kebelakangan ini, Noraniza mengakui tidak pernah merancang ‘kemunculan semula’ yang dianggap sesetengah pihak sebagai kebangkitan kerjayanya.
Sebaliknya, perubahan tersebut bermula dengan keputusan menjalani pembedahan bariatrik demi kesihatan sebelum dia kembali memberi perhatian kepada bidang muzik yang menjadi kecintaannya sejak sekian lama.
“Kadang-kadang kita tak susun benda itu, dia datang secara tidak dijadualkan. Contohnya, saya buat bariatrik sebab kesihatan. Badan dah mula kejang-kejang, kolesterol sangat tinggi, sampai nak tidur pun takut tercekik. Semua itu jadi trauma. Saya buat istikharah sebelum mengambil keputusan menjalani bariatrik.
“Masa April itu memang saya nak keluarkan single, tetapi terpaksa ditangguhkan sebab perlu melalui proses pemulihan. Bila ditangguhkan, kebetulan artis lain pun ada konsert, jadi saya ambil peluang untuk berehat. Sampailah satu ketika, Hafiz Hamidun masuk dengan lagu Salam Kaut.
“Sebenarnya, tujuan sayamenyanyikan lagu ini hanya untuk memeriahkan industri, bukannya nak bersaing. Saya memang rindu nak menyanyi sebagai seorang penyanyi,” katanya.
Menurut Noraniza, penerimaan terhadap lagu berkenaan turut membuka ruang untuk mendekatkan golongan muda dengan muzik tradisional, khususnya menerusi aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Bagaimanapun, penyanyi itu mengakui masih berhati-hati untuk menganggap sambutan tersebut sebagai petanda kebangkitan semula kerjayanya, malah lebih selesa membiarkan masa menentukan sejauh mana karya yang dihasilkan mendapat tempat di hati pendengar.
“Saya sampai sekarang rasa kabur sikit. Kabur sebab seronok tengok ramai orang suka lagu ini. Kita bersyukur, tetapi pada masa sama tertanya-tanya, orang betul-betul menghargai lagu kita atau tidak? Saya masih mengkaji perkara itu. Bila pergi konsert, orang suka, tetapi saya takut nak komen lebih-lebih sebab bimbang orang kata kita berlebih-lebih.
“Jadi, saya cuba tone down, cakap apa yang perlu sahaja. Lebih baik menjaga hati sendiri dan hati orang lain sebab penulisan ini kadang-kadang subjektif, takut disalah erti hingga membawa maksud negatif. Saya nak hidup tenang-tenang sahaja,” katanya.
Menyentuh masa depan irama tradisional selepas dia bersara kelak, Noraniza tidak melihat kekurangan pelapis sebagai satu kebimbangan besar kerana percaya industri muzik tempatan kini mempunyai ramai penyanyi yang mampu membawa muzik budaya dengan identiti tersendiri.
Antara nama yang disebutnya ialah Wany Kayrie, Mimi Fly, Wany Hasrita, Shiha Zikir, Aina Abdul dan Aishah Retno, yang masing-masing mempunyai pendekatan tersendiri dalam mengembangkan muzik tempatan.
“Ramai dah pelapis kita. Mereka dah faham apa yang mereka nak buat. Semua mereka dah ada cara tersendiri untuk mengangkat irama budaya.
“Kalau dulu saya dengan Siti Nurhaliza sahaja berdua, komposer pun arwah Pak Ngah seorang sahaja. Tetapi sekarang mereka sendiri dah boleh jadi komposer dan bergerak sendiri. Saya nampak perkembangan itu sebagai sesuatu yang positif sebab mereka ada kebolehan dan hala tuju masing-masing,” katanya.
Justeru, Noraniza berharap segala usaha dan pengalamannya sepanjang berada dalam industri dapat dijadikan rujukan oleh generasi baharu, sekali gus memastikan irama tradisional terus mendapat tempat dalam landskap muzik tempatan.
“Saya cuma nak irama Malaysia yang saya bawa dulu dijadikan sebagai bahan rujukan sahaja. Saya tak mahu orang melihat perjuangan ini seolah-olah hanya bergantung kepada saya.
“Kita dah ada ramai penyanyi yang boleh membawa muzik budaya dengan pendekatan masing-masing. Yang penting, irama Malaysia terus hidup, berkembang dan dikenali oleh generasi akan datang,” katanya.











