NEW DELHI: Siklon Murasu dijangka melanda pantai timur India pada malam ini, menjadikannya ribut tropika kedua membadai kawasan itu dalam tempoh kurang seminggu, menurut Jabatan Meteorologi India (IMD).
Ribut berkenaan dijangka mendarat sekitar tengah malam Isnin atau awal pagi esok, dengan hujan lebat diramal melanda negeri Andhra Pradesh dan Tamil Nadu.
Menurut IMD, Murasu berkemungkinan melanda pantai selatan Andhra Pradesh sebagai siklon kuat dengan kelajuan angin antara 100 hingga 110 kilometer sejam, manakala tiupan angin boleh mencecah 120 kilometer sejam.
Siklon itu dijangka melanda kawasan antara Nellore dengan Narsapur, berhampiran bandar Ongole.
Rabu lalu, Siklon Arnab membadai pantai Andhra Pradesh dan membawa hujan lebat sehingga mengorbankan sekurang-kurangnya tiga orang.
Walaupun Murasu dijangka mempunyai kelajuan angin lebih rendah berbanding siklon sebelumnya, ribut itu berpotensi membawa hujan lebat tambahan ke kawasan yang sudah terjejas.
Musim siklon kali ini turut dipengaruhi fenomena cuaca El Nino yang menyumbang kepada peningkatan suhu luar biasa serta perubahan corak angin, tekanan udara dan taburan hujan di seluruh dunia.
Siklon yang dikenali sebagai hurikan di Atlantik Utara dan taufan di Lautan Pasifik itu merupakan ancaman bermusim di Teluk Bengal dan utara Lautan Hindi.
IMD memberi amaran bahawa angin kencang boleh merosakkan rumah beratap rumbia, menerbangkan bumbung serta menumbangkan pokok.
Tanaman yang masih di ladang, kawasan perladangan dan dusun buah-buahan turut berisiko mengalami kerosakan akibat tiupan angin kencang dan hujan lebat.- AFP











