Pengarah eksekutif YTL dinobatkan Tokoh Wanita CIOB

Pengarah eksekutif YTL dinobatkan Tokoh Wanita CIOB

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pengarah Eksekutif YTL Corporation Berhad, Datuk Yeoh Soo Keng, 63, menerima Anugerah Tokoh Wanita sempena Majlis Makan Malam Jubli Emas Chartered Institute of Building (CIOB) Malaysia 2026.

Pengiktirafan itu diberikan bagi menghargai pencapaian dan sumbangannya dalam industri pembinaan yang selama ini banyak diterajui golongan lelaki.

Sepanjang 41 tahun kerjayanya, beliau bukan sahaja terlibat dalam bidang pembinaan dan kejuruteraan awam, malah turut mempunyai pengalaman dalam perolehan, pengurusan sumber manusia, jualan dan komunikasi mudah alih.

Memuatkan artikel berkaitan…

Malah, beliau pernah menerajui syarikat kereta sewa, Olympic Rent A Car selain mengasaskan portal tiket penerbangan pertama bagi kumpulan YTL.

Berkelulusan Sarjana Muda Sains (Kepujian) dalam Kejuruteraan Awam dari United Kingdom, Soo Keng mencatat sejarah sebagai wanita pertama di Malaysia yang membina bangunan secara turnkey menerusi projek ibu pejabat pertama YTL, Plaza Yeoh Tiong Lay di Jalan Bukit Bintang.

Ketika itu, Syarikat Pembinaan Yeoh Tiong Lay Sdn. Bhd. menjadi kontraktor turnkey pertama di Malaysia.

Dalam bidang persatuan industri, beliau turut mencatat sejarah apabila menjadi wanita pertama dilantik sebagai Pengerusi Persatuan Simen dan Konkrit Malaysia (C&CA), Presiden Persekutuan Pengeluar Simen ASEAN (AFCM) serta Presiden Asian Cement Producers Amity Club (ACPAC).

Beliau turut memainkan peranan dalam mempromosikan penggunaan bahan binaan rendah karbon di Malaysia, termasuk simen sanga (slag cement) dan simen abu terbang (fly ash cement), yang membantu mengurangkan jejak karbon dalam projek pembinaan.

Ketika menerajui AFCM sebagai presiden wanita pertama, beliau menghimpunkan pengeluar simen serantau menerusi Pameran dan Simposium Teknikal AFCM Ke-26 yang bertemakan Beyond Grey, Decarbonising Cement bagi membincangkan usaha penyahkarbonan industri simen di rantau ASEAN.

Pada 2018, beliau menerima Construction Leading Lady Award daripada Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) sebagai pengiktirafan terhadap sumbangannya dalam industri pembinaan.

Selain bidang korporat, Soo Keng turut aktif dalam pembangunan belia menerusi Persatuan Pandu Puteri Malaysia (PPPM).

Beliau pernah berkhidmat sebagai Ketua Pesuruhjaya persatuan itu dan Yang Dipertua Cawangan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Menerusi peranan tersebut, beliau memberi tumpuan kepada usaha membentuk kepimpinan dan daya tahan dalam kalangan remaja perempuan serta wanita.

Antara sumbangannya ialah mengetuai usaha pengumpulan dana Tabung Bantuan Bencana Tsunami Jepun 2011 yang berjaya mengumpulkan RM2.1 juta dalam tempoh 30 hari untuk disalurkan kepada Palang Merah Jepun.

Pada 2017, PPPM Cawangan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur turut mencatat rekod menerusi penghasilan formasi patung beruang berbentuk hati daripada kertas terbesar.

Tahun ini, beliau turut bertindak sebagai Komandan Perkhemahan Jade Camp PPPM yang menghimpunkan 2,031 peserta di Stadium Merdeka bagi meraikan 110 tahun pergerakan Pandu Puteri di Malaysia.

Pada peringkat antarabangsa, Soo Keng menjadi wanita Asia pertama dilantik sebagai anggota Lembaga World Scout Foundation (WSF) pada 2012.

Tahun ini, beliau turut dimasyhurkan dalam WSF Regal Circle oleh Raja Carl XVI Gustaf dari Sweden.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini