Pertama kali bergandingan dengan Amir Ahnaf, Amirah Razak akui belum sedia raih populariti - Utusan Malaysia

Pertama kali bergandingan dengan Amir Ahnaf, Amirah Razak akui belum sedia raih populariti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon, Amirah Razak mengakui masih belum bersedia untuk berdepan dengan populariti sekiranya namanya semakin melonjak selepas membintangi filem Baga: Esok Untuk Siapa bersama aktor, Amir Ahnaf.

Amirah, 27, berkata, dia tidak pernah meletakkan populariti sebagai matlamat utama dalam kerjaya seni, sebaliknya hanya mahu diberikan peluang untuk terus mengembangkan bakat lakonannya.

“Sejujurnya, saya masih terharu dan tidak percaya dengan semua perkara yang sedang berlaku. Kalau ditanya sama ada sudah bersedia atau tidak, sebenarnya saya belum begitu bersedia.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya masih dalam proses mempersiapkan diri. Buat masa sekarang, saya hanya mahu memberikan yang terbaik untuk filem Baga dan apa sahaja yang berlaku selepas ini, saya serahkan kepada Tuhan.

“Sebenarnya saya takut dengan populariti. Kita tidak tahu apa yang akan berlaku apabila sudah berada di atas. Macam-macam perkara boleh terjadi.

“Saya bukan seorang yang mahu menjadi terkenal secara mendadak. Apa yang saya mahukan hanyalah peluang untuk terus berlakon,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Berkongsi mengenai gandingannya bersama Amir, Amirah memaklumkan mereka sebenarnya sudah saling mengenali sejak menuntut di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), meskipun mengikuti jurusan berbeza.

“Sebelum Baga, saya memang sudah mengenali Amir kerana dia merupakan junior saya di universiti, tetapi kami mengambil jurusan berbeza.

“Dia pernah menonton persembahan teater saya ketika di universiti. Kemudian, Amir pernah mengajak saya membintangi sebuah filem pendek. Itulah kali pertama kami bergandingan sebelum bekerjasama sekali lagi menerusi Baga,” kongsinya.

Dalam pada itu, Amirah yang pertama kali menggalas watak heroin menerusi filem arahan Ariff Zulkarnain itu tidak terlalu bimbang dengan penerimaan penonton meskipun digandingkan dengan Amir yang terlebih dahulu mencipta nama dalam industri seni.

“Dari segi penerimaan penonton, saya tidak terlalu risau kerana saya rasa penonton sekarang semakin bijak menilai lakonan dan mengkritik sesebuah filem. Jadi, apabila mereka menonton Baga dan melihat karakter Melur,

“saya berharap mereka dapat merasakan keserasian antara Melur dengan Jani. Kalau keserasian itu berjaya disampaikan, insya-Allah saya rasa tidak ada apa yang perlu dirisaukan,” jelasnya.

Tambah Amirah, dia lebih selesa membina kerjaya secara perlahan dan menjadikan pelakon versatil, June Lojong sebagai inspirasi dalam berkarya.

“Kalau ditanya siapa pelakon kegemaran saya, saya selalu akan jawab June Lojong. Arah tuju saya sebagai pelakon berpandukan cara dia.

“Sebab itulah kalau populariti hadir secara perlahan pun saya tidak kisah kerana saya berpegang kepada pendekatan June Lojong,” katanya.

Selain Amirah dan Amir, filem terbitan Indigo Films itu turut dibintangi oleh barisan pelakon hebat seperti Wan Hanafi Su, Cehc Adrea, Kimal Mokhtar, Idham Maulana dan Mat Over.

Filem tersebut bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara pada 5 November ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini