Hentikan budaya menghina di media sosial

Hentikan budaya menghina di media sosial

GUNAKAN media sosial dengan berhemah dan hormati maruah orang lain.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MENJADIKAN media sosial sebagai medan menghina, mencaci, memfitnah dan menjatuhkan maruah orang lain merupakan perbuatan tidak beretika yang perlu dihentikan. 

Isu ini tidak boleh dipandang ringan kerana tuduhan tanpa bukti yang tersebar di alam maya mampu memberikan kesan besar terhadap kehidupan seseorang.

Keadaan semakin membimbangkan apabila teknologi kecerdasan buatan (AI) membuka ruang kepada penghasilan gambar dan video yang dimanipulasi untuk mengaibkan individu. 

Memuatkan artikel berkaitan…

Kandungan sedemikian boleh tersebar dengan pantas sehingga menimbulkan persepsi negatif sebelum kebenaran sesuatu perkara diketahui.

Platform yang sepatutnya menjadi ruang bertukar pandangan, berkongsi ilmu dan menyebarkan maklumat kini turut digunakan untuk melancarkan serangan peribadi serta menyemai kebencian. 

Perkembangan ini memperlihatkan bahawa kemajuan teknologi perlu bergerak seiring dengan kematangan sikap, adab dan rasa hormat sesama manusia.

Kebebasan bersuara sewajarnya dimanfaatkan untuk menyampaikan pandangan secara berhemah, mempertahankan pendirian dengan fakta dan menerima perbezaan pendapat tanpa merendahkan orang lain.

Tingkah laku di alam maya juga mencerminkan nilai yang diamalkan dalam kehidupan seharian, sekali gus mempengaruhi pembentukan generasi yang lebih matang dan bertanggungjawab.

Hakikatnya, masalah ini bukan berpunca daripada teknologi semata-mata, sebaliknya cara manusia menggunakannya. Penyalahgunaan media sosial dan AI boleh menjejaskan individu, keluarga, masyarakat serta organisasi, malah turut membawa kesan kepada pelaku sendiri.

Bagi individu yang menjadi sasaran, penghinaan dan tuduhan tidak berasas boleh menjejaskan emosi, kesihatan mental, keyakinan diri serta hubungan sosial. Tekanan berpanjangan akibat kecaman awam juga boleh membawa kepada tindakan yang membahayakan diri, termasuk bunuh diri. Oleh itu, kesan gangguan dalam talian tidak boleh dipandang remeh.

Keluarga turut menanggung tekanan apabila pasangan, anak-anak dan ahli keluarga lain terpaksa berhadapan dengan rasa malu serta pandangan negatif masyarakat, meskipun mereka tidak mempunyai kaitan dengan perkara yang diperkatakan.

Dalam skala lebih luas, budaya menghina yang dianggap biasa boleh menyuburkan kebencian dan melemahkan sikap saling menghormati. Keadaan ini berisiko menjejaskan perpaduan, toleransi serta hubungan antara anggota masyarakat. 

Bagi organisasi pula, penyebaran maklumat palsu dan tohmahan boleh merosakkan reputasi, menghakis kepercayaan serta menjejaskan hubungan dengan masyarakat.

Pelaku juga perlu memahami bahawa tindakan tidak bertanggungjawab boleh mengakibatkan kehilangan kepercayaan dan membawa kepada tindakan undang-undang, bergantung pada perbuatan serta fakta kes.

Antara punca penyalahgunaan media sosial ialah kegagalan mengawal emosi ketika marah atau berbeza pendapat. Ada pengguna berasa bebas berkata apa sahaja kerana bersembunyi di sebalik identiti maya, manakala sebahagian yang lain terlalu mengejar perhatian sehingga tergesa-gesa menyebarkan berita yang belum disahkan. 

Apabila penghinaan dilakukan secara beramai-ramai, perbuatan itu pula mudah dianggap sebagai sesuatu yang biasa.

Perubahan perlu bermula daripada diri sendiri tanpa menyalahkan teknologi atau pihak lain. Setiap pengguna boleh memainkan peranan dengan berhenti seketika sebelum menulis komen atau memuat naik hantaran. Jika sedang marah, tangguhkan tindakan sehingga emosi kembali stabil agar respons yang diberikan lebih rasional.

Sebelum berkongsi sesuatu maklumat, semak kesahihannya melalui sumber yang boleh dipercayai. Jangan menggadaikan maruah dan integriti diri dengan menyebarkan tuduhan yang belum terbukti.

Selain itu, perbezaan pandangan hendaklah dibincangkan secara matang dengan menggunakan bahasa yang sopan dan hujah berasaskan fakta. Elakkan menjadikan kelemahan atau aib seseorang sebagai bahan jenaka dan tontonan umum. Pengguna juga tidak seharusnya menyukai, berkongsi atau menambah komen yang menggalakkan serangan terhadap individu lain.

Jika terdapat dakwaan salah laku, gunakan saluran aduan yang betul berserta bukti berkaitan supaya perkara tersebut dapat disiasat secara adil mengikut prosedur dan undang-undang. -UTUSAN

 

NOOR MOHAMAD SHAKIL HAMEED

Timbalan Pengarah (Komunikasi Korporat),

Pusat Strategi Dan Perhubungan Korporat (PSPK),

Universiti Putra Malaysia (UPM)

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini